Skip to main content

Singapura

Lelaki 31 tahun diberkas; disyaki terlibat skim pancing data OCBC

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 31 tahun diberkas; disyaki terlibat skim pancing data OCBC

(Gambar: Calvin Oh/CNA)

Diterbitkan : 19 Jul 2022 10:11AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 31 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam skim pancingan data yang menyasarkan para pelanggan OCBC. 

Lelaki tersebut dipercayai membuka sebuah akaun bank untuk menerima wang mangsa. 

Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa yang mengalami kerugian lebih S$100,000 pada 26 Dis. 

Siasatan awal menunjukkan bahawa lebih S$18,000 wang mangsa dipindahkan ke akaun korporat UOB. 

"Lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai menggunakan butiran CorpPassnya untuk membuka akaun korporat bagi sebuah syarikat tempatan pada November 2021," menurut SPF. 

"Lelaki itu kemudian menyerahkan akaun bank tersebut kepada seorang individu yang tidak dikenali, dipercayai untuk meraih manfaat kewangan." 

Menurut SPF, akaun bank itu digunakan untuk memudahkan beberapa urus niaga bernilai tinggi antara 20 hingga 27 Dis tahun lalu. 

Lebih S$4 juta disalurkan melalui akaun bank tersebut, tambah SPF. 

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Selasa (19 Jul) kerana membantu seorang lagi individu untuk meraih manfaat daripada kegiatan jenayah. 

Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya sekali. 

Sekurang-kurangnya 13 orang sudah diberkas berhubung skim pancingan data OCBC, dengan beratus-ratus mangsa mengalami kerugian S$13.7 juta pada tahun lalu. 

Sebilangan individu juga didakwa dengan tuduhan membantu seorang lagi individu untuk meraih manfaat daripada kegiatan jenayah. 

OCBC pada awal tahun ini menyatakan bahawa para individu yang menjadi mangsa penipuan tersebut telah memberikan maklumat log masuk perbankan online mereka dan kata laluan sekali sahaja (OTP) kepada laman web palsu, sekali gus membolehkan para penipu untuk mengambil alih akaun bank mereka dan membuat urus niaga tanpa pengetahuan mereka. 

Sekitar 80 peratus daripada jumlah itu lesap sepanjang tempoh musim perayaan hujung tahun, dedah bank tersebut.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita