Lelaki 28 tahun didakwa rogol wanita 52 tahun, hentak kepala mangsa pada singki
Seorang lelaki 28 tahun hari ini (21 Ogos) didakwa atas kesalahan merogol seorang wanita hampir dua tahun lebih tua daripada dirinya dan menghentak kepala mangsa pada singki.

(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Seorang lelaki 28 tahun hari ini (21 Ogos) didakwa atas kesalahan merogol seorang wanita hampir dua tahun lebih tua daripada dirinya dan menghentak kepala mangsa pada singki.
Chew Kee Hock, rakyat Singapura, berdepan satu tuduhan mencederakan mangsa untuk merogolnya.
Dokumen-dokumen mahkamah menunjukkan bahawa antara pukul 8.45 malam dengan 9.05 malam pada Khamis (19 Ogos), dia didakwa memaksa wanita itu, 52 tahun, untuk melakukan seks oral tanpa persetujuan mangsa di tandas wanita di tingkat lima sebuah bangunan di Toa Payoh.
Seks oral atau liwat tanpa persetujuan wanita dikategorikan sebagai kesalahan merogol sejak 1 Januari tahun lalu selepas pindaan ke atas Kanun Jenayah dikuatkuasakan.
Mangsa tidak boleh didedahkan namanya disebabkan perintah mahkamah demi melindungi identitinya. Lokasi tepat dalam bangunan itu juga tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Chew juga dituduh sengaja mencederakan mangsa dengan menghentak kepalanya pada singki untuk merogolnya.
Wanita itu mengalami kecederaan ringan dan suspek melarikan diri daripada tempat kejadian selepas itu, menurut polis dalam satu kenyataan pada Jumaat malam (20 Ogos).
Menerusi paparan daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera polis, para pegawai daripada beberapa jabatan berjaya mengesan laluan yang digunakan suspek semasa melarikan diri dan mengenal pasti suspek dengan cepat, tambah polis.
Dia diberkas di sebuah unit kediaman di Ang Mo Kio semalam, hanya 10 jam selepas aduan dibuat.
Polis menyatakan ia akan meminta agar Chew ditahan reman bagi siasatan lanjut.
Dia akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada 27 Ogos.
Jika sabit kesalahan mencederakan mangsa untuk merogol, dia boleh dihukum penjara antara lapan dengan 20 tahun dan dikenakan 12 sebatan rotan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.