Skip to main content

Singapura

Lelaki 26 tahun maut berikutan nahas di CTE; video papar kereta terbelah dua

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 26 tahun maut berikutan nahas di CTE; video papar kereta terbelah dua

Gambar: SG Road Vigilante/Facebook

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun meninggal dunia setelah kereta yang membawanya dan seorang lagi penumpang wanita kelihatan terbabas di jalan susur di Ekspreswe Central (CTE) pada awal pagi Jumaat (11 Ogos).

Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di halaman Facebook SG Road Vigilante pada pagi Jumaat, sebuah kereta berwarna kelabu kelihatan terbelah dua.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan pada 12.10 pagi pada Jumaat mengenai nahas berkenaan yang melibatkan sebuah kereta, yang dipercayai terbabas di jalan susur CTE dan Ekspreswe Seletar (SLE) menghala ke Seletar West Link.

Lelaki berusia 26 tahun itu, yang dipercayai salah seorang penumpang kereta tersebut, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang paramedik SCDF.

Menurut SCDF, pegawainya perlu menarik keluar pemandu kereta itu, juga seorang lelaki berusia 26 tahun, dari tempat duduknya dengan menggunakan alat menyelamat hidraulik. Beliau dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat dalam keadaan sedarkan diri.

Penumpang wanita tersebut, yang juga berusia 26 tahun, dibawa ke hospital yang sama dalam keadaan sedar.

Siasatan polis masih dijalankan.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita