Skip to main content

Singapura

Lelaki 26 tahun diberkas semasa serbuan dadah Cavenagh Road; 6.9kg ganja dirampas

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 26 tahun diberkas semasa serbuan dadah Cavenagh Road; 6.9kg ganja dirampas

CNB rampas pelbagai dadah di estet perumahan privet dekat Cavenagh Road pada 19 Mac 2025. (Gambar: CNB)

SINGAPURA: Hampir 7kg ganja dirampas dalam satu serbuan dadah yang menyaksikan seorang lelaki berusia 26 tahun diberkas.

Demikian menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan pada Jumaat (21 Mac).

Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai lebih S$184,000 dan dipercayai cukup untuk melepaskan ketagihan kira-kira 1,040 penyalah guna dadah selama seminggu.

Semasa operasi tersebut dijalankan pada Rabu, para pegawai CNB melakukan serbuan ke atas sebuah unit kediaman privet berdekatan Cavenagh Road.

Para pegawai terpaksa memecah masuk unit berkenaan selepas penghuninya enggan mematuhi arahan mereka. Lelaki tersebut diberkas dalam salah satu bilik tidur.

Tindakan menggeledah bilik tidur itu menemui 6,885g ganja, 69g Ice, 21g ketamin, 20g Ecstasy, enam LSD (lysergic acid diethylamide) dan enam botol GHB (gamma-hydroxybutyrate).

Jumlah kecil ganja dan ketamin, wang tunai bernilai lebih S$6,200 dan beberapa mata wang asing juga ditemui pada lelaki itu.

Operasi menggeledah keretanya yang diletakkan di pekarangan kediaman yang sama itu menemui lagi 25g ganja, 25g 25g dadah psilocybin, 17g Ice, dan jumlah kecil ketamin.

"Perampasan jumlah ganja yang banyak ini menunjukkan bahawa masih terdapat permintaan bagi ganja," kata Timbalan Pengarah Dasar dan Pentadbiran CNB, Sng Chern Hong.

"CNB mengingatkan orang ramai bahawa ganja bukan 'tidak berbahaya' seperti yang kerap dipaparkan, terutama oleh mereka yang melobi agar penggunaan ganja diluluskan."

Siasatan ke atas kegiatan dadah suspek yang diberkas itu masih dijalankan.

Sesiapa yang didapati bersalah kerana mengedar lebih 500g ganja boleh dikenakan hukuman mati.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita