Lelaki 24 tahun dijel 6 minggu ekori remaja perempuan, ceroboh rumahnya
Seorang pelayan lelaki, 24 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam minggu semalam (28 Feb) kerana mengekori seorang pelajar 17 tahun, mencuri kunci dan kemudian mencerobohi rumahnya pada 4.30 pagi semata-mata untuk mengetahui nama remaja berkenaan.
Gambar hiasan. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Seorang pelayan lelaki, 24 tahun, dijatuhi hukuman penjara enam minggu semalam (28 Feb) kerana mengekori seorang pelajar 17 tahun, mencuri kunci dan kemudian mencerobohi rumahnya pada 4.30 pagi semata-mata untuk mengetahui nama remaja berkenaan.
Lelaki yang tidak boleh didedahkan namanyanya atas arahan mahkamah mengaku bersalah terhadap empat tuduhan termasuk mengekori, menceroboh dan dua tuduhan mencuri.
Mangsa sedang belajar di cawangan McDonald’s di Tampines apabila lelaki tersebut pertama kali memerhatikannya pada Oktober atau November 2016. Dia tertarik dengan remaja perempuan itu dan cuba berkawan dengannya, kata Timbalan Pendakwa Raya Jotham Tay. Namun, remaja itu menolak percubaannya.
Walau bagaimanapun, lelaki itu tidak berhenti mencuba. Dia akan menunggu remaja berkenaan di McDonald’s di mana beliau selalu belajar untuk memberinya bunga kertas setiap kali mereka bertemu. Pada satu hari, lelaki itu ternampak remaja perempuan tersebut keluar dari rumahnya lantas mendapat tahu di mana tempat tinggalnya. Dia kemudian mula mengekori mangsa ke rumahnya.
Pada November 2016, dia mengunjungi flat tersebut dengan niat untuk melihat sama ada terdapat sesiapa di rumah. Sebaliknya, dia terjumpa kunci rumah yang tergantung di lubang kunci dan terus mencurinya.
Pada 22 November pula, lelaki itu mencerobohi flat tersebut pada tengah malam. “Dia mahu mendapatkan nama (remaja perempuan itu),” kata Encik Tay.
Lelaki itu turut mencuri coli sambil menyangka bahawa ia kepunyaan mangsa. Ia milik adik perempuan remaja tersebut yang berusia 13 tahun. Teman lelaki adiknya yang belum tidur ketika itu pula ternampak lelaki berkenaan. Dia terus melarikan diri.
Mahkamah juga diberitahu bahawa lelaki tersebut sudah berkali-kali memasuki rumah berkenaan menggunakan kunci yang dicurinya. Dia juga mencuri surat-surat dan menggunakan nama-nama yang tertera untuk mencari profil remaja itu di media sosial. “Dia gagal menemuinya dan kembali ke flat itu lagi,” kata Encik Tay.
Peguam lelaki itu berkata bahawa anak guamnya “jatuh cinta dengan mangsa dan tidak dapat mengawal perasaanya terhadap gadis tersebut”.
Beliau menarik perhatian kepada satu laporan psikiatrik yang menyatakan bahawa lelaki tersebut mengalami “ketidakstabilan emosi” tetapi bukan penyakit mental.
Atas kesalahan mengekori mangsa, lelaki tersebut boleh dihukum penjara sehingga setahun dan/atau didenda sehingga S$5,000. Atas kesalahan menceroboh rumah pula, dia boleh dipenjarakan sehingga setahun dan/atau didenda sehingga S$3,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.