Skip to main content

Singapura

Lelaki 24 tahun dijel 18 bulan; cabul budak 11 tahun di tangga

Seorang lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara selama setahun setengah pada Isnin (7 Jun) atas kesalahan-kesalahan seksual terhadap seorang budak perempuan bawah umur yang berusia separuh daripada umurnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 24 tahun dijel 18 bulan; cabul budak 11 tahun di tangga

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 08 Jun 2021 06:06PM Dikemas Kini : 08 Jun 2021 06:15PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara selama setahun setengah pada Isnin (7 Jun) atas kesalahan-kesalahan seksual terhadap seorang budak perempuan bawah umur yang berusia separuh daripada umurnya.

Adrian Choo Yi Cong berusia 22 tahun semasa dia mula mengenali murid sekolah rendah yang berusia 11 tahun ketika itu melalui rakan yang dikenali oleh mereka berdua. Dia meminta mangsa menjadi teman wanitanya beberapa bulan kemudian dan budak itu bersetuju.

Choo mengaku bersalah di mahkamah daerah atas dua tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh dengan seorang kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda. Empat tuduhan lain yang tidak berkaitan, termasuk mencuri dan merusuh, turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Choo dan budak perempuan itu bertemu sekitar Julai 2019. Pada awal November tahun itu, dia bersetuju menjadi teman wanitanya.

Nama mangsa tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya.

Pada 13 Nov, budak itu bersama rakannya bertemu dengan Choo di sebuah bangunan di Fernvale Road di Sengkang selepas sekolah berakhir untuk hari itu. Lokasi sebenar tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Choo membawa budak itu dan rakannya ke sebuah taman atas bumbung sebelum meminta mangsa supaya mengikutnya ke kawasan tangga. Di situ, dia mula memeluk dan mencium budak itu di bibirnya, sebelum melakukan perbuatan sumbang pada budak tersebut.

Mangsa menyuruhnya supaya menghentikan perbuatannya itu tetapi tertuduh tetap berbuat demikian selama beberapa minit. Setelah itu, mereka kembali ke tingkat bawah untuk bersembang dengan rakan-rakan lain sehingga keesokan harinya.

Pada ketika itu, Choo membawa budak perempuan itu ke kawasan Jalan Kayu yang terletak berdekatan. Di kawasan tangga, dia sekali lagi menyentuh mangsa secara tidak senonoh walaupun diminta supaya menghentikannya.

Pada 2 Dis, bapa saudara dan makcik budak itu bertanya kepadanya sama ada Choo telah melakukan apa-apa padanya. Tidak jelas apa yang mendorong mereka untuk berbuat demikian, namun mangsa kemudian memberitahu mereka mengenai kejadian sebelumnya.

Petang itu, bapa saudara mangsa menghampiri beberapa pegawai polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan Fernvale Road dan memberitahu mereka tentang insiden itu yang berkemungkinan adalah kes eksploitasi seksual kanak-kanak.

Timbalan Pendakwa Raya James Chew mengusulkan hukuman penjara sekurang-kurangnya selama 22 bulan, namun Hakim Daerah Tan Jen Tse mengambil kira usia muda Choo dan tiada sabitan sebelum kes tersebut semasa menjatuhkan hukuman terhadap Choo.

Choo, yang diwakili oleh Cik Jocinda Wong dari East Asia Law Corporation, juga cuba bercakap dengan hakim, untuk meminta hukuman yang lebih ringan kerana dia perlu menyara keluarganya.

Hakim Daerah Tan menyuruhnya bercakap melalui peguamnya dan hukuman sudahpun dijatuhkan ke atasnya.

Tarikh hukuman penjara Choo diundurkan kepada tarikh dia ditahan reman pada 18 Dis tahun lalu.

Atas kesalahan eksploitasi seksual kanak-kanak, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita