Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 23 tahun dijel tipu Lazada S$181,000

 Seorang lelaki menipu platform e-dagang Lazada lebih S$181,000 sepanjang tempoh beberapa bulan dengan menyamar sebagai pembeli dan penjual untuk meminta duitnya dibayar balik.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 23 tahun dijel tipu Lazada S$181,000

Gambar: Lazada

Diterbitkan : 16 Jul 2021 09:38PM Dikemas Kini : 16 Jul 2021 09:42PM

SINGAPURA: Seorang lelaki menipu platform e-dagang Lazada lebih S$181,000 sepanjang tempoh beberapa bulan dengan menyamar sebagai pembeli dan penjual untuk meminta duitnya dibayar balik.

Joel Lim, 23 tahun, hari ini (16 Jul) dijatuhi hukuman penjara 21 bulan atas dua tuduhan menipu dan satu tuduhan memindah hasil jenayah kepada sebuah hartanah. Lagi tiga tuduhan diambil kira sewaktu hukuman dijatuhkan.

Pada Oktober 2019, Lim merancang satu skim untuk menipu Lazada. Pihak pendakwa menamakan skim tersebut "penipuan bayaran balik".

Lim akan berurus niaga dengan dirinya sendiri sebagai pembeli dan penjual. Dia membuat tempahan barangan berharga tinggi dengan pelbagai akaun penjual miliknya sendiri, menggunakan akaun-akaun pembeli yang juga miliknya serta membuat bayaran melalui kad kreditnya.

Dia kemudian membungkus barangan tersebut sebagai "penjual" dan menghantarnya ke gedung rakan logistik Lazada yang kemudian akan mengirimkan barangan tersebut ke rumahnya.

Namun, barangan yang dibungkus tidak sama dengan tempahan yang dibuat. Apabila rakan logistik itu mengesahkan penghantaran, Lazada akan memproses bayaran yang dikreditkan oleh akaun penjual milik Lim di lamannya ke akaun bank yang didaftarkannya.

Selepas itu, Lim akan mengeluarkan duit yang dibayar ke akaun banknya itu dan meminta duitnya dibayar balik dengan menyamar sebagai seorang "pembeli". Dia kemudian akan menerima permintaan tersebut sebagai seorang "penjual" pula dan Lazada akan membayar balik jumlah berkenaan ke kad kreditnya sambil memotong jumlah yang sama daripada akaun penjual Lim.

Namun, Lim tidak akan menerima sebarang tempahan di akaun tersebut selepas itu dan Lazada pula tidak boleh mendapatkan kembali jumlah yang dipotong daripada akaun berkenaan.

Lim menggunakan empat akaun penjual dan tujuh akaun pembeli di Lazada untuk menjalankan rancangannya itu. Dia menipu Lazada antara S$61,000 dengan S$101,000 antara Oktober dengan Disember 2019.

Lim menggunakan wang itu untuk perbelanjaan sendiri seperti sewa hartanah, bil kad kredit, kos perbaiki kereta bahkan membeli kereta pakai semula BMW.

Timbalan Pendakwa Raya Matthew Choo meminta Lim dijatuhi hukuman penjara antara 21 dengan 24 bulan sambil merujuk kepada jenayah sofistikated yang dirancang terlebih dahulu.

Hakim berkata meskipun penipuan itu tidak sofistikated, langkah-langkah yang diambil untuk melakukan penipuan itu dirancang terlebih dahulu.

Bagi setiap tuduhan menipu, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan