Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 21 tahun diberkas, dipercayai serang mangsa guna gunting di Serangoon

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 21 tahun diberkas pada Rabu (3 Ogos) setelah dia dipercayai menyerang seorang lagi lelaki dengan menggunakan sepasang gunting, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF). 

Polis memberikan respons kepada kes serangan di Serangoon Avenue 4 itu sekitar pukul 8.29 malam Selasa (2 Ogos). 

Seorang lelaki berusia 20 tahun mengalami beberapa kecederaan disebabkan insiden tersebut dan dibawa ke hospital dalam keadaan sedarkan diri. 

Suspek serangan tersebut melarikan diri daripada tempat kejadian dalam sebuah kenderaan dengan seorang wanita, 21 tahun, sebelum polis tiba. Namun, identitinya segera dikenal pasti dengan bantuan gambar-gambar daripada kamera polis. 

Menerusi pertanyaan di sekitar tempat kejadian, pegawai Divisyen Ang Mo Kio SPF menemui kenderaan yang diabaikan di tempat meletak kereta di Northshore Drive, Punggol. 

"Pencarian pasangan itu di sekitar tempat tersebut dijalankan oleh pegawai unit K-9 daripada Pasukan Operasi Khas (SOC)," menurut SPF dalam kenyataan medianya. 

"Pasangan tersebut kemudian dilihat bersembunyi di belakang sebuah lori yang diletak di Punggol 17th Avenue." 

Suspek diberkas dalam tempoh lima jam selepas serangan itu terjadi.

Wanita yang mendampinginya itu juga didapati mengalami beberapa kecederaan dan dibawa ke hospital dalam keadaan sedarkan diri. 

"Siasatan awal mendedahkan bahawa kedua-dua mangsa mengenali satu sama lain," menurut SPF. 

"Suspek juga dikenali oleh wanita berusia 21 tahun itu dan pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada pertengkaran yang berlaku sebelum ini.

"Siasatan turut menunjukkan bahawa suspek menggunakan gunting dalam kedua-dua serangan." 

Kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil.

Suspek akan didakwa di mahkamah pada Khamis (4 Ogos) kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya. 

Sesiapa saja yang didapati bersalah akan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau mana-mana gabungan hukuman itu. 

"Polis akan berusaha sedaya upaya untuk mengesan sesiapa saja yang melakukan aksi kejam dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka mengikut undang-undang," menurut SPF. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan