Legenda bola sepak SG Ibrahim Awang meninggal dunia pada usia 83 tahun
Legenda bola sepak dan mantan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Singapura, Ibrahim Awang, meninggal dunia pada usia 83 tahun pada Jumaat (4 Apr).
Allahyarham Ibrahim Awang. (Gambar: Instagram/Persatuan Bola Sepak Singapura)
Demikian menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam catatannya di laman Facebook pada Isnin (7 Apr).
"Persatuan Bola Sepak Singapura amat bersedih atas pemergian mantan anggota Pasukan Singa dan ketua jurulatih pasukan Ibrahim Awang.
"Ingatan kami bersama keluarganya dan orang-orang tersayang semasa waktu sukar ini," tulis FAS.
PENCAPAIAN IBRAHIM AWANG
Allahyarham adalah tokoh perintis dalam arena bola sepak Singapura, di dalam dan luar padang.
Sebagai seorang pemain, beliau pernah menjadi sebahagian daripada pasukan Singapura yang menjulang Piala Malaya pada 1964 selepas menang 3-2 menentang Perak.
Beliau juga mewakili pasukan Melayu Singapura yang merangkul Piala Emas Sultan-Sultan pada 1963 dan 1964.
Kerjaya bola sepak Allahyarham turut menyaksikan beliau mewakili Singapura dalam Kejohanan Belia Asia 1959 dan Sukan SEAP 1965, serta Sukan Asia 1966.
Di peringkat tempatan pula, Allahyarham menerajui pasukan Darul Afiah menggondol empat kejuaraan Liga Divisyen Pertama antara 1963 dengan 1966.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai penolong jurulatih Queenstiown FC semasa musim Liga Bola Sepak Nasional (NFL) pada 1975.
Allahyarham juga melatih dan membimbing beberapa generasi pemain sebagai seorang jurulatih, dengan berperanan sebagai pengurus sementara (caretaker manager) pasukan kebangsaan Singapura pada 1974 dan penolong jurulatih di bawah Jita Singh dari 1977 hingga 1982.
Beliau juga membimbing pasukan-pasukan peringkat belia dan memimpin kelab-kelab seperti Changi CSC, Geylang International dan Home United, di mana beliau kekal aktif sehingga beliau bersara pada 1998.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.