Legasi Syed Isa Semait kukuhkan tadbir urus institusi agama, sokong pembangunan umat Islam SG
Perdana Menteri Lawrence Wong mengutuskan salam takziah atas berpulangnya mantan Mufti Singapura, Syed Isa Semait, yang pernah memegang jawatan tersebut dari 1972 hingga 2010.
Mantan Mufti Negara Syed Isa Semait meninggal dunia pada usia 87 tahun. (Gambar: MUIS)
Dalam satu catatan di Instagram, Encik Wong mengenang sumbangan hampir empat dekad Allahyarham yang banyak menyumbang kepada masyarakat Melayu/Islam Singapura.
“Shaikh Syed Isa berkhidmat sebagai Mufti Singapura dari 1972 hingga 2010, mendedikasikan hampir empat dekad untuk membimbing dan memperkasa masyarakat Melayu/Islam,” katanya.
“Kepimpinan beliau membantu membentuk institusi-institusi penting, memperkukuh pentadbiran agama, dan menyokong pembangunan masyarakat Melayu/Islam kita.”
Encik Wong turut menzahirkan penghargaan kepada legasi yang ditinggalkan Almarhum melalui barisan pemimpin dan cendekiawan yang pernah dibimbingnya.
“Salam takziah kepada keluarga beliau dan semua yang pernah berkhidmat bersamanya,” tulis Encik Wong, mengakhiri catatan beliau.
Almarhum Syed Isa Semait merupakan Mufti yang paling lama berkhidmat dalam sejarah Singapura.
TOKOH YANG BANYAK BERJASA: SM LEE
Menteri Kanan Lee Hsien Loong menyifatkan mantan Mufti Syed Isa Semait sebagai seorang tokoh ulung yang banyak berjasa, bukan sahaja kepada masyarakat Melayu/Islam, malah kepada seluruh rakyat Singapura.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum pada Isnin (7 Jul), Encik Lee berkata beliau amat sedih atas berita pemergian Almarhum.
“Saya rasa saya perlu datang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada beliau – beliau adalah seorang rakyat Singapura yang hebat,” kata Encik Lee.
Almarhum Syed Isa berkhidmat sebagai Mufti selama hampir empat dekad dan pernah melibatkan diri dalam pelbagai peranan penting termasuk sebagai anggota Majlis Presiden bagi Hak Masyarakat Minoriti (PCMR), Majlis Presiden bagi Keharmonian Agama (PCRH), serta menyokong penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) selepas peristiwa 9/11.
“Beliau merupakan teladan, bukan sahaja kepada seluruh masyarakat Melayu, tetapi juga kepada semua rakyat Singapura,” ujar Encik Lee.
Dalam kenyataannya, Encik Lee turut mengenang kali pertama beliau bertemu Almarhum Syed Isa pada 1988, semasa Parlimen sedang membincangkan cadangan bagi penubuhan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC). Ketika itu, Shaikh Syed Isa tampil dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas untuk menyuarakan pandangan beliau sebagai Mufti Singapura.
“Ia meninggalkan kesan yang mendalam kepada kami kerana beliau bercakap dengan penuh keyakinan. Beliau faham pentingnya isu tersebut dan kepekaan subjek itu. Jawatankuasa menanyakan pelbagai soalan yang mencabar – tetapi beliau tenang, menjawabnya dengan yakin, dan menunjukkan pemahaman yang mendalam,” kata Encik Lee.
Sepanjang kerjayanya, Almarhum Syed Isa terlibat dalam pelbagai isu termasuk hubungan kaum, keselamatan, serta pendidikan agama. Beliau diyakini rakyat kerana memberi pandangan yang praktikal dan berpaksikan ilmu agama yang kukuh, termasuk dalam isu-isu moden seperti tudung, pemindahan organ, penggunaan ubat-ubatan baharu, dan vaksin.
“Beliau percaya terhadap usaha untuk meningkatkan institusi dan pendidikan agama agar masyarakat Islam di Singapura mendapat panduan yang baik dan nasihat agama yang kukuh berhubung isu-isu dalam masyarakat moden,” tambah Encik Lee.
Dalam pada itu, Encik Lee turut berkongsi kenangan beliau melancarkan buku biografi Almarhum yang diterbitkan selepas persaraannya sebagai Mufti pada 2012.
“Saya gembira dan tersentuh melihat bagaimana beliau begitu berbangga dengan keluarganya, serta kejayaan anak-anak dan cucu-cucunya. Mereka membesar dalam sebuah negara yang turut dibentuk oleh Shaikh,” katanya.
Encik Lee menambah bahawa Almarhum sudah banyak menyumbang kepada Singapura dan akan dirindui oleh ramai.
“Saya berharap dapat bertemu beliau untuk menikmati secawan teh dan mengucapkan terima kasih atas segala sumbangannya. Tapi ia tidak kesampaian, kemudian COVID-19 tiba. Hari ini adalah peluang saya untuk mengucapkan selamat tinggal dan memberi penghormatan terakhir kepadanya.”
“Semoga beliau bersemadi dengan tenang, dan semoga keluarganya berbangga atas segala jasa yang telah beliau curahkan kepada masyarakat Melayu/Islam dan kepada Singapura," kata Encik Lee, mengakhiri kenyataannya.
TOKOH ULAMA SANGAT DIHORMATI
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli menyifatkan Almarhum Syed Isa Semait sebagai seorang tokoh ulama yang sangat dihormati. Pemergian beliau, kata Encik Masagos, merupakan satu kehilangan besar bagi masyarakat Islam tempatan.
Dalam satu catatan yang dimuat naik ke Facebook pada Isnin, Encik Masagos mengatakan bahawa Almaharhum meninggalkan legasi yang mendalam sepanjang khidmatnya sebagai Mufti Negara.
“Sepanjang hampir empat dekad, beliau telah memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran agama di negara ini. Beliau dikenali kerana ilmu yang mendalam, usaha memelihara keharmonian antara agama, dan bimbingan beliau kepada masyarakat Islam dalam menghadapi isu-isu agama yang rumit pada zaman ini,” katanya.
Beliau turut mengangkat pemikiran Shaikh Syed Isa yang menekankan kesederhanaan, keterangkuman, serta kepekaan terhadap konteks masyarakat majmuk di Singapura.
Bagi mengenang jasa Almarhum, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menubuhkan Biasiswa Syed Isa Semait (SISS), bagi menyokong para pelajar dalam bidang pengajian agama yang menunjukkan kepimpinan serta minat untuk berbakti kepada masyarakat.
“Melalui inisiatif ini, visi beliau terhadap masyarakat Islam yang yakin, progresif dan berpaksikan nilai-nilai spiritual akan terus hidup dan menjadi inspirasi generasi akan datang, Insya-Allah,” ujar Encik Masagos.
Kata Encik Masagos, beliau mengenali Almarhum semasa dirinya mula berkhidmat di Majlis Tertinggi MUIS. Ketika itu, beliau dikenali ramai melalui kontroversi serta tentangan terhadap fatwa dan panduan rasmi yang dikeluarkan. Namun di sebalik itu, Encik Masagos mula mengenali sosok yang sangat berbeza – seorang yang penuh kebaikan dan lembut dalam memberi bimbingan.
"Selepas setiap mesyuarat majlis, beliau menjemput saya ke pejabatnya dengan mesra dan penuh kemurahan hati. Dalam detik-detik tenang itulah, saya mula melihat dengan jelas keluasan pandangannya, kehalusan budi pekertinya yang merendah diri, sifat sabarnya yang begitu kuat sungguhpun dicemuh dan kebijaksanaannya yang tersembunyi," kata Encik Masagos.
Keteguhan Almarhum dalam memegang prinsip kebenaran dan kebaikan meskipun berdepan kecaman turut dipuji Encik Masagos.
“Keberanian itu terus memberi inspirasi kepada saya hingga ke hari ini,” kata beliau.
Encik Masagos mengakhiri catatan beliau dengan mengucapkan salam takziah buat keluarga Almarhum Shaikh Syed Isa Semait.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.