Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Legasi Hajjah Fatimah dan kaum wanita dalam pembangunan masyarakat Islam S'pura

Hari ini, semakin ramai wanita dilihat memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam di Singapura, menerusi masjid-masjid.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hari ini, semakin ramai wanita dilihat memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat Melayu/Islam di Singapura, menerusi masjid-masjid.

Perangkaan terkini Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menunjukkan semakin ramai kaum Muslimah tampil ke hadapan bagi menyertai Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) di Singapura, sejak dua dekad lalu.

LEBIH RAMAI WANITA SERTAI LEMBAGA PENTADBIR MASJID

Jika pada tahun 2000, hanya terdapat 63 wanita yang berkhidmat dalam LPM,
jumlah itu kini naik lebih seganda kepada 147 wanita sekarang.

Bagi kelompok masjid utara misalnya, 24 peratus atau 44 daripada 182 anggota yang dilantik ke LPM adalah wanita.

Jumlah itu adalah yang tertinggi antara empat kelompok masjid tempatan.

Kelompok masjid timur dan selatan juga masing-masing menyaksikan peningkatan pada perwakilan wanita dalam LPM, berbanding tempoh perkhidmatan lalu.

Malah menurut MUIS, sebilangan daripada mereka juga memegang jawatan utama dalam LPM.

Malah, peranan kaum Muslimah dalam institusi masjid setempat, telah tercatat sejak sebelum kemerdekaan Singapura lagi.

BERITAmediacorp mengupas generasi perintis wanita yang telah membuat sumbangan besar kepada pembangunan masjid dalam sejarah negara.

LEGASI ALMARHUMAH HAJJAH FATIMAH

Masjid Hajjah Fatimah sudah tidak asing lagi di Singapura.

Tetapi tahukah anda masjid yang terletak di Beach Road itu terkenal sebagai masjid pertama di Singapura yang mengambil namanya daripada seorang wanita - iaitu Almarhumah Hajjah Fatimah Sulaiman.

Pedagang dan dermawan itu dikenali atas sifat murah hatinya kerana membina kediaman bagi golongan fakir miskin, selain mendermakan tapak rumahnya untuk mendirikan masjid tersebut.

Masjid Hajjah Fatimah selesai dibina pada tahun 1846 dan hari ini, ia merupakan sebuah monumen nasional.

Atas sumbangan beliau kepada pembinaan masjid di Kampong Gelam itu, Almarhumah Hajjah Fatimah disertakan dalam senarai "Hall of Fame" atau Dewan Gemilang Wanita Singapura pada tahun 2014.

2 LAGI MASJID GUNA NAMA WANITA DI S'PURA

Namun tahukah anda, Masjid Hajjah Fatimah merupakan hanya antara tiga masjid yang menggunakan nama seorang wanita?

Pada tahun 1915 pula, Almarhumah Katijah Mohamed mewakafkan hartanya bernilai S$50,000 untuk mendirikan sebuah masjid.

Namun hasratnya hanya terkabul pada 1920, empat tahun selepas pemergiannya, apabila Masjid Khadijah dibangunkan di Geylang.

Sejak pembinaannya, masjid itu telah menjadi tumpuan para penduduk Muslim di kawasan itu.

Malah ia juga memainkan satu lagi peranan penting - iaitu menyokong usaha Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dengan menempatkan pusat sumber dan kaunseling kumpulan tersebut.

Seorang lagi wanita perintis di Singapura ialah Almarhumah Hajjah Rahimah Bee Ahmad Angullia yang datang daripada keturunan keluarga yang sudah sejak sekian lama membuat sumbangan besar kepada pembangunan masjid di Singapura.

Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau ini dibina di atas tapak Surau Kebun Limau, dengan sumbangan derma S$1.6 juta bagi mengenang anak perempuannya yang meninggal dunia pada 1976.

Ia juga dilihat sebagai usaha Almarhumah Hajjah Rahimah Bee untuk meneruskan legasi datuk dan ayah beliau yang membina Masjid Angullia di Serangoon Road pada tahun 1890-an dan bekas Masjid Taman Angullia dekat Orchard Road pada tahun 1930-an. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan