Skip to main content

Singapura

Legasi ayah dalam SAF terus bernafas melalui dua anaknya

Anggaran Waktu Membaca:
Legasi ayah dalam SAF terus bernafas melalui dua anaknya

MAJ (Bersara) Aidil Juma'at (tengah) bersama anak-anaknya, 2LT Aleena Aidil dan 3SG A'qil Aidil. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 24 Jun 2026 12:57PM
SINGAPURA: Hampir 25 tahun, MAJ (Bersara) Aidil Juma'at memerah keringat dan menabur bakti dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Semasa tempoh itu, isterinya, Cik Siti Hawalia Abdullah menjadi pendengar setia kisah-kisah tentera yang dibawa pulang suaminya selepas seharian bertugas.

Tiga tahun lalu, pegawai berusia 50 tahun itu memutuskan untuk bersara.

Namun, jejaknya dalam SAF tidak berhenti begitu sahaja. Ia sebaliknya diteruskan oleh dua orang anaknya, yang kini berkhidmat sebagai pegawai tetap.

Lantaran itu, kisah-kisah tentera yang Cik Siti meratapi dan mendengar setiap hari kini bukan sahaja datang daripada suaminya, malah daripada kededua anak mereka.

"Kadang-kadang saya rasa kasihan pada ibu sebab beliau macam tertinggal sedikit. Kami selalu guna istilah tentera yang beliau tidak begitu faham," seloroh anak bongsu mereka, 2LT Aleena Aidil ketika ditemui BERITA Mediacorp di kediaman mereka.

Apabila ditanya jika pengaruh keputusan anak-anaknya, MAJ (Bersara) Aidil berkata: "Saya tidak pernah menjangkakan mereka akan masuk tentera.”

Namun beliau percaya pengalaman membesar dalam persekitaran tentera sedikit sebanyak membentuk pandangan mereka terhadap kerjaya tersebut.

MAJ (Bersara) Aidil berharap agar anak-anaknya juga dapat menjiwai nilai-nilai yang dipegangnya sepanjang perkhidmatan dalam SAF.

Beliau berkata: "Bagi saya, nilai yang paling penting ialah keikhlasan. Jika kita tidak ikhlas dalam membina hubungan dengan ketua, rakan sekerja dan anggota bawahan, lambat laun orang akan dapat melihatnya. Keikhlasan itulah asas kepada kepercayaan dan kepimpinan."

"Nilai kedua ialah disiplin. Perkhidmatan tentera bukan sahaja membentuk disiplin dalam diri, tetapi juga cara kita berfikir. Ia mengajar bahawa tiada yang mustahil jika kita memberikan komitmen dan usaha seratus peratus. Gabungan keikhlasan, disiplin dan kerja keras inilah yang mengubah minda seseorang, dan akhirnya membolehkan kita mencapai perkara yang pada mulanya dirasakan mustahil," tambahnya lagi.

PELAJARI ERTI KEPIMPINAN MELALUI PERKHIDMATAN AYAH DALAM SAF

Kerjaya 2LT Aleena di SAF bukan sesuatu yang dirancang sejak kecil.

Malah ketika menuntut di Maktab Rendah Catholic (CJC), beliau bercita-cita menjadi seorang doktor.

"Pada masa itu, saya agak yakin mahu menjadi doktor. Tetapi apabila saya berbincang dengan kaunselor ECG (Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya), beliau berkata saya nampak lebih bersemangat apabila bercakap tentang SAF berbanding bidang perubatan," kongsi 2LT Aleena, 20 tahun.

Penyertaannya dalam Program Pengalaman MINDEF (MEP) turut membantu beliau menyedari bahawa perkara yang dicari dalam kerjaya sebenarnya selari dengan apa yang ditawarkan SAF.

"Bila saya fikirkan semula cerita-cerita yang saya dengar daripada ayah dan pengalaman yang saya lalui, saya sedar perkara yang paling menarik minat saya ialah peluang untuk memimpin, berkhidmat dan membantu orang lain.

Menurut 2LT Aleena, pelajaran kepimpinan yang paling bermakna bukan dipelajari di bilik darjah.

Sebaliknya, ia datang daripada ayahnya sendiri.

"Apabila saya menjadi kapten pasukan olahraga di sekolah, ayah selalu tanya saya apa yang saya mahu orang di bawah pimpinan saya rasakan dan bagaimana saya mahu mereka berkembang.

"Soalan-soalan itu membuatkan saya berfikir seperti seorang pemimpin," katanya.

2LT Aleena menyertai SAF pada April tahun lalu dan kini bertugas di Markas Briged Infantri Singapura Ke-2 (2 SIB).

TELADAN AYAH MENJADI INSPIRASI

Jika 2LT Aleena menemui hala tujunya melalui proses mengenali diri sendiri, perjalanan abangnya, 3SG A'qil Aidil pula bermula lebih awal.

Sejak kecil, beliau sudah tertarik dengan dunia ketenteraan.

Kereta kebal, senjata dan pelbagai aset ketenteraan sering mencuri perhatiannya.

Teladan yang ditampil ayahnya turut menjadi antara faktor terbesar yang mendorongnya menyertai SAF.

3SG A'qil berkata: "Ayah merupakan inspirasi yang sangat besar dalam keputusan saya untuk menyertai tentera. Saya melihat bagaimana ayah berkomunikasi dengan pegawai atasan, rakan sekerja dan anggota bawahannya. Persekitaran itu sangat berdisiplin tetapi pada masa yang sama penuh rasa hormat."

Meski ayahnya merupakan seorang pegawai tentera, 3SG A'qil memilih laluan berbeza dengan menyertai Pegawai Waran dan Pakar Guards (WOSPEC).

"Pegawai lebih tertumpu kepada perancangan dan pelaksanaan, manakala WOSPEC pula lebih dekat dengan anggota di lapangan dari segi kemahiran dan pelaksanaan tugas.

"Kedua-duanya sama penting kerana setiap peranan mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam memastikan kejayaan sesuatu misi," katanya.

Beliau telah memulakan Latihan Asas Tentera (BMT) pada 1 Julai tahun lalu sebelum menyertai SAF sebagai pegawai tetap.

Kini, sebagai Komander Seksyen di Batalion Ke-9 Rejimen Infantri Singapura (9 SIR), 3SG A’qil mengetuai anggota keselamatan dan menyokong operasi bilik pengawal.

BUKAN TENTANG PANGKAT ATAU SERAGAM

Meski bangga melihat kededua anaknya memilih laluan yang sama, MAJ (Bersara) Aidil tidak pernah putus menasihati mereka bahawa kerjaya tentera bukan sekadar tentang pangkat yang disandang atau seragam yang disarung.

"Ia tentang cara kita memimpin manusia, berkomunikasi dengan orang di sekeliling kita tidak kira pegawai atasan, anggota bawahan dan rakan sekerja," kata beliau yang yang kini masih meneruskan sumbangannya dalam SAF sebagai Pegawai Eksekutif Pertahanan (DXO) di Institut Latihan Infantri (ITI).
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita