Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Legasi aktivis wanita S'pura Che Zahara diabadikan menerusi Doodle Google hari ini

Google hari ini (15 Okt) mengiktiraf sumbangan besar aktivis wanita Melayu, Che Zahara Noor Mohamed, yang membawa kemajuan dalam isu-isu berkaitan wanita dan kanak-kanak, menerusi coretan atau 'doodle' istimewa di laman utama wadah media sosial itu sebagai tanda penghargaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Google hari ini (15 Okt) mengiktiraf sumbangan besar aktivis wanita Melayu, Che Zahara Noor Mohamed, yang membawa kemajuan dalam isu-isu berkaitan wanita dan kanak-kanak, menerusi coretan atau 'doodle' istimewa di laman utama wadah media sosial itu sebagai tanda penghargaan.

Che Zahara merupakan pengasas pertubuhan kebajikan wanita Islam yang pertama di Singapura iaitu May Women's Welfare Association (MWWA) pada 1947.

Demikian menurut Google dalam kenyataan media pada hari ini.

Doodle Che Zahara dilancarkan hari ini sempena detik bersejarah yang berlaku pada hari yang sama, 71 tahun lalu.

Pada 15 Oktober 1950, Che Zahara mengadakan perhimpunan awam sebagai respons kepada Rang Undang-Undang Perkahwinan 1950.

Rang Undang-Undang itu diperkenalkan pada Ogos 1950 untuk menghadkan perkahwinan kepada individu berusia 16 tahun dan ke atas.

Namun, Rang Undang-Undang itu dipinda bagi mengecualikan pelaksanaannya ke atas masyarakat Muslim.

Meskipun perhimpunan awam itu gagal menggugurkan pindaan rang undang-undang tersebut, ia mengorak langkah yang membawa kesan besar, membolehkan kaum wanita menyuarakan keprihatinan mereka secara terbuka dan memastikan pendapat mereka didengari.

Pada 1955, Che Zahara mewakili Singapura di Kongres Sedunia bagi Ibu-Ibu di Switzerland dan bekerjasama dengan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura untuk bantu membangunkan Piagam Wanita Singapura, iaitu mercu tanda perundangan yang melindungi hak wanita dan kanak-kanak rakyat Singapura sehingga ke hari ini.

Usaha sepanjang hayatnya dijalankan atas kepercayaan bahawa pendidikan boleh memperkasa individu dan mengeluarkan mereka daripada lingkaran kemiskinan.

Beliau malah mendidik ratusan wanita dan anak yatim daripada segenap lapisan usia, menurut Google.

"Che Zahara merupakan perintis dalam usaha mengecapi hak wanita di Singapura. Beliau dan beberapa lagi wanita yang menubuhkan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura pada 1952, mencabar undang-undang dan dasar yang bersifat diskriminasi dan norma-norma serta pemikiran yang sudah berakar umbi yang hanya membiarkan kaum wanita memegang jawatan dan memainkan peranan bawahan dalam masyarakat," kata Pengerusi Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura, Margaret Thomas.

"Ia sebahagian besarnya disebabkan mereka berusaha keras demi perubahan, sehingga Piagam Wanita dibangunkan pada 1961, justeru melarang poligami bagi golongan bukan Muslim dan memberikan hak setara dalam perkahwinan kepada kaum wanita dan lelaki.

"Che Zahara merupakan antara wanita pertama yang dimasukkan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura. Mereka merupakan wanita yang berwawasan, berani, berazam dan apa yang mereka lakukan membuka laluan kepada generasi-generasi wanita selepas mereka."

"Google komited kepada kepelbagaian, keadilan dan sikap inklusif dan kami berbangga untuk memberi penghormatan kepada Che Zahara sebagai perintis hak wanita dan kanak-kanak melalui Doodle Google ini," kata Pengarah Negara Google Singapore, Ben King.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan