Skip to main content

Singapura

Leftenan Kolonel Kanan Abu Bakar Abdillah Alkatib antara lebih 1,300 pegawai MINDEF/SAF dinaikkan pangkat tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jun 2026 04:48PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 11:34AM
SINGAPURA: Perjalanan kerjaya Leftenan Kolonel Kanan (SLTC) Abu Bakar Abdillah Alkatib banyak dibentuk oleh pengalaman beliau mengikuti kursus pentauliahan pegawai di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst di United Kingdom.

"Saya berpeluang menjalani latihan bersama kadet-kadet British yang sedang membuat persiapan untuk berkhidmat di medan operasi sebenar. Mengetahui bahawa mereka akan dihantar ke barisan hadapan selepas ditauliahkan menjadikan pengalaman latihan itu sangat bermakna dan membuka mata saya tentang realiti tugas seorang askar," kata SLTC Abu Bakar.

SLTC Abu Bakar yang berkhidmat sebagai Komander Briged Infantri Singapura Ke-3 (3SIB) merupakan antara 1,301 kakitangan dan pegawai Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dinaikkan pangkat tahun ini.

SLTC Abu Bakar, 40 tahun, dinaikkan pangkat kepada Kolonel dalam majlis kenaikan pangkat yang diadakan pada 24 dan 25 Jun.

"Menjadi seorang askar ibarat bermain sukan berpasukan. Kejayaan bukan hasil usaha seorang individu tetapi usaha seluruh pasukan. Saya amat bersyukur kerana sepanjang perjalanan ini saya sentiasa dikelilingi rakan sepasukan dan pegawai atasan yang banyak memberi sokongan," kata Abu Bakar.
Related article image
(Gambar: MINDEF)
Menyifatkan perkembangan pesat teknologi, khususnya sistem tanpa pemandu, sebagai antara cabaran utama yang membentuk operasi ketenteraan masa kini, Abu Bakar berkata angkatan tentera perlu sentiasa bersedia menyesuaikan keupayaan mengikut perubahan tersebut.

"Pasukan saya juga sedang meneroka dan menguji penggunaan dron dalam Briged Infantri. Ini merupakan usaha yang menarik dan penting kerana sistem tanpa pemandu kini semakin meluas digunakan dalam industri pertahanan di seluruh dunia," kata Abu Bakar

"Kami perlu terus belajar menyesuaikan diri dan membangunkan keupayaan ini agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa hadapan," tambahnya lagi.

Tahun ini juga, seramai tujuh Kolonel dinaikkan pangkat kepada Brigadier-Jeneral dan lima Pegawai Waran Kanan yang dinaikkan pangkat kepada Ketua Pegawai Waran.

Semua kenaikan pangkat akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita