Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Leeden National Oxygen, CEO didenda sebabkan kematian ahli kimia makmal dalam letupan

Sebuah syarikat gas perindustrian dan ketua pegawai eksekutifnya didenda S$385,000 secara keseluruhan pada Selasa (26 Jan) kerana kelemahan langkah keselamatan yang menyebabkan kematian seorang ahli kimia makmal dalam satu letupan di premisnya di Tanjong Kling pada 2015.

Anggaran Waktu Membaca:
Leeden National Oxygen, CEO didenda sebabkan kematian ahli kimia makmal dalam letupan

(Gambar: SCDF)

Diterbitkan : 26 Jan 2021 08:29PM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 08:32PM

SINGAPURA: Sebuah syarikat gas perindustrian dan ketua pegawai eksekutifnya didenda S$385,000 secara keseluruhan pada Selasa (26 Jan) kerana kelemahan langkah keselamatan yang menyebabkan kematian seorang ahli kimia makmal dalam satu letupan di premisnya di Tanjong Kling pada 2015.

Leeden National Oxygen didenda S$340,000 kerana gagal mengambil langkah-langkah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para kakitangannya di tempat kerja, sementara Steven Tham Weng Cheong, 69 tahun, didenda S$45,000 bagi tuduhan serupa. Kedua-duanya membayar jumlah penuh denda yang dikenakan.

Mangsa, Lim Siaw Chian, 30 tahun, baru sahaja kembali bekerja setelah melahirkan anak. Anak perempuannya berusia enam bulan pada ketika itu.

Cik Lim sedang menjalankan analisis gas ke atas sebuah silinder apabila satu siri letupan berlaku di 21 Tanjong Kling Road pada 12 Okt 2015.

Para kakitangan di makmal kawalan mutu pusat gas khas Leeden - tempat letupan itu berlaku - menjalankan analisa pada gas-gas dalam silinder pelbagai jumlah dan tekanan bagi mengesahkan jika ia memenuhi keperluan pelanggan sebelum penghantaran.

Cik Lim meninggal dunia akibat kecederaan daripada letupan itu dan dua rakan kerjanya yang berada dalam makmal bersamanya juga mengalami kecederaan. Tujuh lagi kakitangan mengalami kecederaan akibat kebakaran yang berlaku di luar. Kecederaan yang dialami termasuk pendarahan otak dan luka-luka.

Letupan pertama berlaku di bahagian belakang makmal tempat Cik Lim kali terakhir dilihat sedang menyentuh pemasangan injap pengawalan yang dihubungkan dengan sebuah silinder sebelum rakaman kamera litar tertutup terpadam.

Kelemahan utama didapati disebabkan oleh kimpalan pada bahagian pemasangan injap pengawalan yang diubah suai dan tidak diperiksa dengan betul sebelum penggunaan.

Disebabkan itu, campuran gas metana-oksigen-nitrogen yang mudah terbakar terbocor daripada peralatan itu apabila silinder itu sedang diuji dan mungkin terbakar akibat suhu tinggi kerana geseran.

Siasatan mendapati bahawa Leeden membeli pemasangan injap pengawalan itu daripada beberapa pembekal berlainan namun tidak dapat menjejaki pembekal yang menyediakan peralatan yang diubah suai.

Justeru, tiada laporan ujian daripada para pembekal untuk menunjukkan jika peralatan itu sudah diuji dan diluluskan. Barangan itu juga disimpan dalam sebuah kabinet kotak peralatan, dengan tiada penyenggaraan berkala dan tiada pemeriksaan bagi kerosakan.

"Jika terdapat sistem penyenggaraan, kebocoran gas mudah terbakar yang menyebabkan letupan itu dapat dielakkan," kata pihak pendakwa.

Leeden juga gagal dalam tujuh aspek untuk memastikan langkah-langkah keselamatan, termasuk gagal mengambil langkah bagi memastikan pemasangan injap pengawalan yang diubah suai dan tidak selamat tidak digunakan semasa menguji gas-gas mudah terbakar dan gagal melaksanakan sistem bagi penjejakan dan penyenggaraan peralatan sedemikian.

Sebagai CEO syarikat, Tham bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi Leeden, termasuk keselamatan, sumber manusia dan kewangan. Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa dia tidak mengkaji semula prosedur keselamatan syarikat itu menyusuli penggabungan antara dua syarikat yang membentuk Leeden pada Oktober 2014.

Bagi kesalahan gagal mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan kesihatan dan keselamatan para pekerja, Leeden boleh dikenakan hukuman denda sehingga S$500,000. Tham juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$200,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan