Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lee Hsien Yang tidak dijangka penuhi kriteria Pilihan Raya Presiden kerana berbohong, menurut peguam

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Hsien Yang tidak dijangka penuhi kriteria Pilihan Raya Presiden kerana berbohong, menurut peguam

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 04 Mar 2023 11:39AM Dikemas Kini : 04 Mar 2023 06:21PM
SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang mengumumkan pada Jumaat (3 Mac) bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Presiden Dipilih.

Namun, beberapa peguam berkata Encik Lee Hsien Yang mungkin gagal memenuhi kriteria sebagai calon. Ini setelah mahkamah mendapati bahawa beliau dan isterinya berbohong semasa prosiding kehakiman melibatkan wasiat Perdana Menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.

Peguam-peguam tersebut menambah Encik Lee Hsien Yang berkemungkinan gagal untuk memenuhi kriteria sebagai calon tanpa mengira apa sekalipun hasil siasatan polis yang sedang dijalankan terhadap pasangan tersebut bagi kesalahan berpotensi memberi keterangan palsu.
Dalam satu temu ramah dengan saluran berita Bloomberg pada Jumaat, Encik Lee Hsien Yang mendedahkan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden di Singapura, yang dijangka diadakan pada lewat tahun ini.

Penggal selama enam tahun Presiden Halimah Yacob dijangka tamat pada September nanti.

Encik Lee berkata kepada Bloomberg, sambil merujuk kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, bahawa terdapat pandangan jika beliau bertanding, PAP "akan menghadapi masalah serius dan boleh kecundang", bergantung kepada individu yang dipilih parti tersebut sebagai calonnya.

"Ramai orang sudah mendekati saya. Mereka benar-benar ingin saya bertanding. Ia adalah sesuatu yang akan saya pertimbangkan," tambah beliau.

Encik Lee Hsien Yang merupakan adik lelaki Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan anak kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Encik Lee Hsien Yang mengulas demikian selang sehari selepas Pemerintah mendedahkan bahawa sebagai sebahagian daripada siasatannya, polis meminta untuk menyoal siasat beliau dan isterinya, peguam Lee Suet Fern.

Pasangan berkenaan pada mulanya bersetuju untuk menghadiri soal siasat tersebut, namun kemudian berubah fikiran dan enggan memenuhi permintaan polis itu.

Dalam satu kenyataan berasingan pada Khamis (3 Mac), Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pasangan tersebut tidak menghadiri sesi soal siasat yang dijadualkan pada Julai tahun lalu. Polis menambah pasangan itu menjelaskan dalam satu emel yang dikirimkan kepada pihaknya bahawa mereka tidak akan mengambil bahagian dalam siasatan tersebut.

Dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat, penulis Sudhir Thomas Vadaketh juga menyifatkan siasatan polis ke atas Encik Lee Hsien Yang dan isterinya sebagai "satu kebetulan bagi PAP kerana ia mungkin menjejas sebarang percubaan Encik Lee untuk bertanding bagi jawatan Presiden".

Encik Vadaketh berkata dalam catatannya bahawa Encik Lee Hsien Yang adalah antara segelintir individu yang tidak terikat dengan mana-mana pertubuhan yang mampu memenuhi kriteria kelayakan ketat bagi jawatan presiden dan berkemungkinan bertanding menentang calon yang diluluskan PAP.

Pemerintah pada Khamis (2 Mac) juga menyatakan bahawa sebuah buku elektronik atau e-buku berjudul 'The Battle Over Lee Kuan Yew’s Last Will' mengandungi beberapa gambaran yang tidak tepat "yang dilakukan dengan tujuan untuk memperdaya" dan "benar-benar bertentangan" dengan dapatan mahkamah.
Mahkamah Tiga Hakim dan Tribunal Tatatertib mendapati pasangan itu telah berbohong dan bertindak tidak jujur ketika memberikan keterangan di bawah angkat sumpah.

Mediacorp sudah menghubungi Encik Lee Hsien Yang untuk mendapatkan ulasannya.

Sehubungan itu, Profesor Madya Eugene Tan, seorang pensyarah undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), berkata: "Berbohong di bawah angkat sumpah adalah perkara yang sangat serius dan mencemarkan kedudukan seseorang, terutama sekali apabila individu itu sedang mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan tertinggi."

Ia berkemungkinan menjadi "halangan terbesar" Encik Lee untuk melayakkan diri sebagai seorang calon, jelas Prof Madya Tan.

Ini meskipun Encik Lee dapat memenuhi kriteria kelayakan dengan mudah sebagai calon daripada sektor swasta, memandangkan beliau mempunyai pengalaman menggalas jawatan Ketua Eksekutif syarikat telekomunikasi Singtel.
Sumber : Today/LL/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan