Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lee Hsien Yang tahu dakwaan tentang 38 Oxley Road tidak tepat, wujudkan "rasa mendesak palsu" agar ia dirobohkan

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Hsien Yang tahu dakwaan tentang 38 Oxley Road tidak tepat, wujudkan "rasa mendesak palsu" agar ia dirobohkan

38 Oxley Road. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 25 Oct 2024 09:20PM Dikemas Kini : 26 Oct 2024 12:44AM
SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang tahu bahawa dakwaan yang dibuatnya mengenai 38 Oxley Road, bahawa is harus segera dirobohkan, adalah tidak tepat.

Beliau juga mewujudkan "keadaan mendesak palsu" supaya ia segera dirobohkan, menurut pemerintah pada Jumaat (25 Okt).

Encik Lee, anak bongsu Perdana Menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew, menggesa Perdana Menteri Lawrence Wong supaya membuat keputusan mengenai hartanah tersebut, sambil menambah menerusi catatan Facebooknya pada awal Jumaat bahawa "masa untuk mengambil tindakan adalah sekarang".

Dalam responsnya, pemerintah menyatakan mendiang Encik Lee Kuan Yew sudah menerima pandangan bahawa rumah keluarganya di 38 Oxley Road mungkin dipulihara.

Encik Lee, yang meninggal dunia pada 2015, sudah menulis kepada Kabinet pada 2011 dan mengakui bahawa adalah pandangan barisan menteri kabinet agar hartanah itu tidak dirobohkan.

"Selepas itu, setelah menerima bahawa hartanah itu mungkin dipulihara, Encik Lee Kuan Yew juga menyerahkan pelan ubah elok dan pembangunan semula bagi hartanah tersebut, dan memperoleh kelulusan URA (Penguasa Pembangunan Semula Bandar). Ini dilakukannya pada Mac 2012.

"Encik Lee Kuan Yew, semasa menyerahkan pelan tersebut, meneruskan idea itu atas dasar bahawa hartanah itu akan dipulihara," menurut seorang jurucakap Pemerintah Singapura dari Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Jurucakap itu menambah bahawa Encik Lee Hsien Yang memilih untuk tidak mendedahkan bahawa beliau dan isterinya, Cik Lee Suet Fern, memperdaya Encik Lee Kuan Yew mengenai pelaksanaan wasiat terakhirnya.

Encik Lee Hsien Yang dan isterinya juga didapati berbohong meski sudah bersumpah.

Dapatan itu dibuat oleh Mahkamah Tiga Hakin pada November 2020, dan juga Tribunal Disiplin pada Februari 2020.

Ia dibuat selepas laporan Jawatankuasa Menteri mengenai 38 Oxley Road dikeluarkan pada 2018.

Tribunal disiplin dan Mahkamah Tiga Hakim menyatakan bahawa Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern melakukan "pembohongan besar...sedangkan kedua-duanya sudah angkat sumpah...dan menerusi kenyataan-kenyataan awam dan lain-lain yang dibuat," menurut jurucakap pemerintah itu lagi.

"Afidavitnya diada-adakan untuk memberi gambaran palsu. Beberapa pembohongan juga begitu jelas," menurut pemerintah.

Pemerintah menambah pihaknya cuba membuka ruang mengekalkan pilihan terbuka dan memberi masa untuk generasi rakyat Singapura sekarang dan yang akan datang untuk membuat keputusan mengenai bekas rumah mendiang Encik Lee.

Pilihan itu termasuk merobohkan atau memelihara semua atau sebahagian daripada 38 Oxley Road.

"Daripada menutup semua pillihan sekarang, kita harus membuka ruang bagi pilihan dan mempertimbangkannya dengan teliti, dengan mengambil masa, sekali gus mempertimbangkan keinginan Encik Lee Kuan Yew, nilai sejarah tapak itu dan maknanya kepada generasi rakyat Singapura sekarang dan yang akan datang," menurut kenyataan tersebut.

PENDIRIAN LEE KUAN YEW

Encik Lee Kuan Yew sudah beberapa kali secara umum menzahirkan keinginannya agar rumah itu dirobohkan selepas pemergiannya.

Menerusi suratnya kepada Kabinet pada Oktober 2010 beliau berkata rumah itu "tidak harus dijadikan seperti peninggalan untuk orang masuk sewenang-wenangnya" dan ia tiada merit dari segi seni bina".

Dalam bukunya Hard Truths to Keep Singapore Going, yang diterbitkan pada Januari 2021, beliau dipetik sebagai berkata: "Disebabkan rumah saya, rumah di sekelilingnya tidak boleh dibina tinggi. Sekarang robohkan rumah saya dan ubah peraturan perancangan tersebut, bina (hartanah) tinggi, nilai tanah akan naik."

Beliau menekankan pendiriannya pada Julai 2011 dalam satu lagi surat kepada Kabinet, namun menerima bantahan daripada menteri apabila beliau bertanya mengenainya.

Selepas itu, dalam satu lagi surat kepada Kabinet pada Disember 2011, Encik Lee berkata beliau sudah memikirkan tentang perkara itu selepas barisan menteri Kabinet sebulat suara mengatakan bahawa hartanah tersebut tidak harus dirobohkan; dan beliau sudah memutuskan bahawa jika ia dipulihara, kerja-kerja naik taraf perlu dijalankan.

"Barisan menteri Kabinet sebulat suara bersetuju bahawa 38 Oxley Road tidak harus dirobohkan. Saya sudah memikirkannya dan memutuskan bahawa jika 38 Oxley Road dipulihara, asas (bangunan) perlu diperkukuh dan seluruh bangunan diperbaharui. Kemudian ia harus dibenarkan didiami. Sebuah bangunan kosong hanya akan rosak dan reput," kata beliau.

"Wasiat Encik Lee Kuan Yew, meskipun mencatatkan pilihannya agar hartanah itu dirobohkan, ia juga mengakui bahawa hartanah itu boleh dipulihara," menurut pemerintah pada Jumaat.

"Pandangan Encik Lee Kuan Yew adalah jelas. Pilihannya adalah agar hartanah itu dirobohkan. Tetapi beliau menerima pandangan bahawa ia tidak perlu dirobohkan, dan beliau memberikan pandangan tentang bagaimana hartanah itu harus dipulihara. Semua ini dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Menteri mengenai 38 Oxley Road pada April 2018," tambahnya.

Berikut surat penuh Encik Lee Kuan Yew kepada barisan menteri Kabinet:
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan