Skip to main content

Singapura

Lee Hsien Yang dan isteri 'bebas pulang ke SG pada bila-bila masa': SPF

Encik Lee Hsien Yang dan isterinya Cik Lee Suet Fern bebas pulang ke Singapura pada bila-bila masa sahaja, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (11 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang dan isterinya Cik Lee Suet Fern bebas pulang ke Singapura pada bila-bila masa sahaja, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Jumaat (11 Okt).

Walaupun Encik Lee dan isterinya meninggalkan Singapura pada 2022 selepas memutuskan untuk tidak menghadiri soal siasat polis yang dijadualkan, tiada apa-apa yang menghalang mereka untuk kembali ke tanah air.

"Menjawab pertanyaan media, polis mengesahkan bahawa tiada sekatan undang-undang terhadap Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern untuk pulang ke Singapura. Mereka bebas untuk pulang ke Singapura pada bila-bila masa sahaja," kata SPF dalam kenyataannya.

"Polis telah meminta Encik Lee dan Cik Lee pada Jun 2022 untuk membantu siasatan dengan menghadiri sesi soal siasat. Mereka pada mulanya bersetuju tetapi akhirnya tidak hadir untuk sesi tersebut, meninggalkan Singapura pada 15 Jun 2022, dan tidak pulang ke sini sejak itu."

Dalam kenyataan penjelasan yang dikeluarkan pada Mac 2023, polis menyatakan pihaknya telah meminta Encik Lee dan isterinya untuk menghadiri sesi soal siasat berhubung kemungkinan berlaku kesalahan memberikan keterangan palsu dalam prosiding kehakiman melibatkan wasiat Encik Lee Kuan Yew.

Memandangkan pasangan itu "bekerjasama" dan bersetuju untuk disoal siasat, perintah meminta kehadiran mereka di hadapan polis di bawah Seksyen 21(1) Kanun Prosedur Jenayah tidak dikeluarkan, menurut SPF ketika itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu menyusuli kematian kakaknya, Dr Lee Wei Ling, Encik Lee berkata bahawa beliau tidak akan pulang ke Singapura untuk menghadiri upacara penghormatan terakhir dan upacara persemadiannya.

“Saya menguruskan upacara persemadiannya dari luar negara dengan bantuan anak saya Huanwu mengikut kehendak Ling,” katanya

"Saya tidak akan pulang ke Singapura untuk kedua-dua upacara itu," tambahnya.
 
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita