Skip to main content

Singapura

Lee Hsien Yang bantah cadangan warta tapak Oxley Road sebagai monumen negara

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Hsien Yang bantah cadangan warta tapak Oxley Road sebagai monumen negara

Pandangan sebuah pondok pengawal di luar kediaman mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew di Oxley Road di Singapura pada 14 Jun 2017. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang pada Isnin (17 Nov) mengeluarkan surat terbuka bagi membantah cadangan pemerintah untuk mewartakan tapak 38 Oxley Road sebagai monumen negara, sambil berkata bahawa keputusan itu akan melanggar hasrat mendiang bapanya.

Ini berlaku selepas pemerintah mengumumkan pada awal bulan ini tentang hasratnya untuk mewartakan tapak rumah keluarga pengasas perdana menteri Singapura sebagai monumen negara kerana ia mempunyai sejarah yang penting.

"Pemerintah boleh menghormati Lee Kuan Yew dalam perkara yang amat penting baginya, atau sebaliknya melanggar hasratnya dan mencipta monumen," kata Encik Lee Hsien Yang dalam surat yang dimuat naik ke Facebook dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin, Melayu dan Tamil.

"Sebagai anak lelaki dan pemegang wasiatnya, saya membantah cadangan pewartaan hartanah tersebut."

Surat itu yang ditujukan kepada Perdana Menteri Lawrence Wong, dimuat naik pada hari terakhir untuk membuat bantahan kepada pihak berkuasa berikutan cadangan pemerintah untuk mewartakan tapak tersebut.

Pemerintah menyatakan ia akan memberikan pemilik hartanah - 38 Oxley Road Pte Ltd - sehingga 17 November untuk memfailkan bantahan.

Encik Lee Hsien Yang, pemegang saham tunggal syarikat itu, berkata bapanya secara konsisten membantah pendirian monumen.

"Sepanjang hayatnya, Lee Kuan Yew jelas dan teguh bahawa beliau mahu kediamannya di 38 Oxley Road dirobohkan. Beliau menentang sebarang monumen dan ini adalah sebahagian daripada nilai-nilai yang beliau perjuangkan," kata Encik Lee Hsien Yang.

Pelbagai "hujah-hujah palsu, rumit dan bercanggahan" dibentangkan untuk "cuba mewajarkan" pewartaan tapak ini, katanya.

"Naratif bahawa Lee Kuan Yew berubah fikiran dan akan "rela hati" dengan beberapa bentuk pengekalan rumahnya juga adalah rekaan semata-mata."

Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Pejabat Perdana Menteri bagi memberi respons terhadap surat itu.

Sebarang bantahan rasmi akan diserahkan kepada Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo, yang berkata di Parlimen pada 6 November bahawa ia akan "dipertimbangkan secara objektif dan adil sebagai sebahagian daripada prosesnya".

Jika pemerintah memutuskan untuk meneruskan dengan pemeliharaannya, perintah pemeliharaan akan dibuat dan proses pengambilalihan akan bermula mengikut proses yang ditetapkan.

Pampasan akan dibuat mengikut Akta Pengambilan Semula Tanah, dan pemilik, mana-mana penghuni dan pihak lain yang berkepentingan akan diberi peluang untuk mengemukakan tuntutan mereka kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk menentukan pampasan, kata Encik Neo.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita