Lee Hsien Yang akan mohon robohkan 38 Oxley Road
Encik Lee Hsien Yang berkata pada Selasa (15 Okt) bahawa beliau akan memohon untuk merobohkan kediaman di 38 Oxley Road, rumah bapanya, Perdana Menteri pengasas Lee Kuan Yew.
(Gambar: Howard Law)
Rumah itu adalah rumah Encik Lee Kuan Yew dari pertengahan 1940-an sehingga pemergiannya pada 2015, dan juga rumah anak perempuannya, Dr Lee Wei Ling, yang meninggal dunia minggu lalu.
Dalam catatannya di Facebook, Encik Lee Hsien Yang berkata beliau akan memohon untuk merobohkan rumah itu mengikut hasrat ibu bapanya. Beliau bercadang untuk membina sebuah rumah kecil di tapak tersebut selepas itu, katanya.
"Bagi menghormati hasrat terakhir ibu bapa saya, saya memohon untuk merobohkan rumah di 38 Oxley Road dan selepas itu membina sebuah kediaman peribadi yang kecil, yang akan dibangunkan di tapak tersebut buat selama-lamanya," katanya.
Encik Lee Hsien Yang mendakwa bahawa beliau adalah "pemilik tunggal yang sah 38 Oxley Road" dan, selepas pemergian kakaknya, "satu-satunya wasi yang masih hidup" bagi harta pusaka Encik Lee Kuan Yew.
"Dalam wasiatnya, beliau berhasrat agar rumah itu dirobohkan 'sejurus selepas' Wei Ling berpindah dari rumah itu. Ia menjadi tanggungjawab saya untuk melaksanakan hasratnya itu dengan sepenuhnya mengikut undang-undang," katanya.
Beliau juga menarik perhatian bahawa abangnya, Menteri Kanan Lee Hsien Loong, telah berucap di Parlimen pada 2015 bahawa "terpulang kepada 'pemerintah yang mentadbir negara' untuk memutuskan sama ada untuk membenarkan (rumah itu) dirobohkan", merujuk kepada satu ketika apabila Dr Lee tidak lagi tinggal di sana.
"Sudah sembilan tahun. Hari yang dimaksudkan itu ialah hari ini," kata Encik Lee Hsien Yang.
PERTIKAIAN BERHUBUNG 38 JALAN OXLEY
Rumah keluarga itu telah menarik perhatian ramai sejak pemergian Encik Lee Kuan Yew pada 23 Mac 2015. Dr Lee terus menetap di sana selepas abang-abangnya berpindah.
Pada Jun 2017, Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee memuat naik catatan di media sosial yang menuduh Encik Lee Hsien Loong, Perdana Menteri ketika itu, tidak memenuhi hasrat bapa mereka semata-mata untuk kepentingan politik walaupun mendiang mahu rumah keluarga mereka dirobohkan.
Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee mendakwa mereka berasa tertekan dalam usaha mereka untuk memenuhi hasrat mendiang bapa mereka untuk merobohkan rumah itu. Mereka juga menuduh Encik Lee Hsien Loong menyalahgunakan pengaruhnya dalam pemerintah untuk mengetengahkan agenda peribadinya.
Pertikaian itu kemudian menjadi tajuk utama beberapa akhbar terbesar dunia, yang menydorong Encik Lee Hsien Loong untuk menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada 3 Jul 2017 bagi menangani dakwaan itu.
Sebuah jawatankuasa menteri mengenai 38 Oxley Road yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, yang termasuk Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia ketika itu Grace Fu, Menteri Undang-Undang K Shanmugam dan kemudian Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, untuk menimbangkan masa depan rumah itu.
Pada April 2018, jawatankuasa itu mengeluarkan laporan terakhir mengenai perkara itu dengan tiga saranan: Mengekalkan rumah itu secara keseluruhannya, mengekalkan hanya ruang makan bawah tanah yang bersejarah dan membenarkannya dirobohkan.
"Dalam mencapai pandangan kami mengenai hasrat Encik Lee Kuan Yew, kami bergantung terutamanya pada bukti objektif yang diletakkan di hadapan kami dan langkah konkrit utama yang diambil oleh Encik Lee Kuan Yew sendiri sepanjang hayatnya untuk melaksanakan hasratnya itu," kata Encik Teo sebelum ini.
"Ini termasuk klausa perobohan dalam wasiat terakhir Encik Lee Kuan Yew, suratnya kepada Kabinet bertarikh 27 Dis 2011, serta rancangan pengubahsuaian/pembangunan semula untuk 38 Oxley Road yang dikemukakannya kepada URA pada Mac 2012, dan mendapat kelulusan untuk berbuat demikian."
Laporan itu tidak membuat sebarang saranan dan menyatakan bahawa "tidak perlu membuat keputusan mengenai hartanah tersebut" ketika itu kerana Dr Lee masih menetap di sana.
"Pelbagai pilihan dalam laporan itu bertujuan untuk membantu pemerintah seterusnya membuat keputusan berhemah dan menimbangkan keputusan itu jika perlu," katanya.
WASIAT LEE KUAN YEW
Mendiang Encik Lee Kuan Yew berkata dalam wasiatnya bahawa beliau mahu rumah itu dirobohkan. Jika itu tidak dapat dilaksanakan, hartanah itu hendaklah ditutup kepada semua orang kecuali keluarga dan keturunannya.
Tetapi Encik Lee Hsien Loong berkata pada 2017 bahawa klausa mengenai perobohan telah digugurkan daripada versi kelima dan keenam wasiat itu, dan hanya dimasukkan semula dalam wasiat ketujuh dan wasiat terakhir.
Wasiat terakhir juga akan memulihkan bahagian harta pusaka yang sama dalam kalangan tiga adik-beradik itu.
Enam wasiat pertama disiapkan oleh peguam Encik Lee Kuan Yew, Cik Kwa Kim Li, antara 20 Ogos 2011 dan 2 Nov 2012. Beliau tidak terlibat dalam menyiapkan wasiat ketujuh, yang dilaksanakan pada 17 Dis 2013, dengan penglibatan Encik Lee Hsien Yang dan isterinya Cik Lee Suet Fern, seorang peguam.
Pada tahun 2020, tribunal disiplin serta Mahkamah Tiga Hakim – badan disiplin tertinggi yang menangani salah laku peguam – mendapati Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern mengelirukan mendiang Encik Lee dalam konteks pelaksanaan wasiat terakhirnya dan mereka telah berbohong meskipun selepas mengangkat sumpah semasa prosiding.
Encik Lee Hsien Yang dan Cik Lee Suet Fern meninggalkan Singapura pada 2022 selepas memutuskan untuk tidak menghadiri sesi soal siasat polis yang dijadualkan untuk mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Mac 2023, polis menyatakan bahawa pihaknya telah meminta pasangan itu untuk menghadiri sesi soal siasat itu berhubung potensi berlaku kesalahan memberikan keterangan palsu dalam prosiding kehakiman berhubung wasiat Encik Lee Kuan Yew.
Cik Kwa pada Mei 2023 diarah membayar denda atas salah laku berkaitan wasiat Encik Lee Kuan Yew.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.