Skip to main content

Singapura

'Lebih teruk daripada COVID': Perniagaan penjaja di Bukit Merah terjejas teruk selepas laporan kes batuk kering

Anggaran Waktu Membaca:
'Lebih teruk daripada COVID': Perniagaan penjaja di Bukit Merah terjejas teruk selepas laporan kes batuk kering

Gambar: CNA/Koh Wan Ting

Diterbitkan : 12 Jan 2024 11:17AM
SINGAPURA: Perniagaan di Pasar dan Pusat Makanan ABC Brickworks jatuh mendadak selepas keluar laporan mengenai kes batuk kering (TB) aktif di kawasan itu minggu lalu, kata penjaja.

Penjaja yang ditemui Mediacorp pada Khamis (11 Jan), berkata pelanggan tetap menjauhi kawasan itu kerana mereka menganggap penyakit TB berbahaya dan mudah berjangkit.

Tambah mereka, perniagaan merosot sehingga 50 peratus.

11 Jan adalah hari pertama pemeriksaan bagi penyakit batuk kering dijalankan.

Pembantu gerai John Lim, 29 tahun, yang bekerja di kedai roti di ABC Brickworks, berkata: "Perniagaan lebih teruk daripada (semasa) COVID kerana semasa sekatan COVID, pelanggan masih datang untuk membeli dibawa pulang. Tetapi kali ini, mereka tidak berani datang langsung."

Turut bercakap kepada media pada Khamis, Anggota Parlimen kawasan itu, Encik Eric Chua. Menurutnya beliau maklum tentang kurangnya pelanggan di pusat makanan itu dan menggesa pengunjung untuk kembali melanggani gerai.

“Saya juga ingin menggesa semua orang agar datang ke pasar ABC kerana perniagaan di sini telah terjejas teruk sejak berita pemeriksaan TB ini diumumkan,” katanya.

Pemeriksaan wajib bagi batuk kering di kawasan Bukit Merah bermula pada Khamis dalam gerakan terbesar pihak berkuasa setakat ini. Ia dibuat selepas 10 lagi kes aktif dikesan, dikaitkan dengan kelompok pertama yangd itemui pada 2022.

10 kes itu dikesan antara Februari 2022 dengan Julai 2023, dan dikaitkan dengan kelompok berkenaan melalui analisis genetik.

Untuk saringan kali ini, pemeriksaan wajib percuma, dijalankan bagi mereka yang tinggal dan bekerja di Blok 1 dan Blok 3 Jalan Bukit Merah, mereka yang bekerja di Pasar dan Pusat Makanan ABC Brickworks, serta pelanggan dan kakitangan Pusat Aktiviti Warga Emas Thong Kheng di Blok 3 Jalan Bukit Merah.

Mereka yang kerap ke kawasan itu juga dialu-alukan untuk menjalani pemeriksaan sukarela secara percuma.

Gerakan itu melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) yang menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah penduduk. Sebuah khemah besar juga dipasang di sebelah Blok 3 Jalan Bukit Merah untuk tujuan tersebut.
Bercakap kepada media di luar khemah itu pada Khamis, pengarah kumpulan Penyakit Berjangkit MOH Profesor Vernon Lee berkata lebih 1,500 orang, atau 93 peratus daripada mereka yang dikenal pasti untuk pemeriksaan wajib, telah mendaftar, manakala lebih 500 individu telah mendaftar secara sukarela.
"Bezanya antara mereka yang dijadualkan untuk pemeriksaan wajib (adalah) potensi risiko pendedahan lebih tinggi berbanding dengan pemeriksaan sukarela di mana potensi risiko pendedahan adalah lebih rendah," katanya.

"Kami menggalakkan semua orang yang layak untuk pemeriksaan wajib atau sukarela untuk tampil ke hadapan supaya kami boleh menjalankan pemeriksaan dan mengenal pasti sebarang kes TB yang berpotensi untuk pengurusan awal dan untuk mencegah penularan seterusnya."

Secara keseluruhannya, latihan itu dijangka meliputi sekitar 3,000 orang yang tinggal dan bekerja di Bukit Merah.

"Semua kes penyakit TB aktif telah dirawat dan tidak berjangkit. Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, kami menjalankan pemeriksaan TB ini untuk mengenal pasti sebarang kes TB yang mungkin tidak dapat dikesan, dan dengan berbuat demikian, mencegah risiko penularan TB sejauh mungkin," kata Profesor Lee.

"TB adalah penyakit yang boleh dirawat jika dilakukan lebih awal. Oleh itu, kami ingin mengenal pasti sebarang kes, merawatnya lebih awal dan mencegah penularan TB."

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa telah melibatkan penduduk blok yang terjejas dan pekerja di pusat makanan untuk mendidik mereka tentang penyakit itu dan menjawab soalan mereka.

JANGKITAN TB PERLU PENDEDAHAN PANJANG

Menurut MOH, penularan bakteria TBs daripada kes aktif biasanya memerlukan pendedahan yang berpanjangan - dari hari hingga minggu berbanding minit ke jam. Tambahnya, seseorang tidak boleh mendapat batuk kering daripada berkongsi cawan, perkakas atau makanan.

TB juga tidak merebak jika berjabat tangan, mencium atau menyentuh sarung katil atau tempat duduk tandas.

Tuberkulosis mempunyai tempoh terpendam yang panjang dan mungkin tidak berkembang menjadi penyakit selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun, kata MOH sebelum ini. Mereka yang mempunyai jangkitantb terpendam (latent tuberculosis ) tidak menunjukkan sebarang simptom, tidak berjangkit dan tidak menimbulkan risiko kesihatan awam. Hanya kes aktif yang berjangkit.

Singapura mencatat 1,251 kes batuk kering aktif baharu pada 2022.
 
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita