Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih tertekan bekerja dari rumah berbanding petugas barisan hadapan?

Semasa pandemik COVID-19, rakyat Singapura yang bekerja dari rumah menghadapi tahap tekanan lebih tinggi berbanding kakitangan barisan hadapan, dengan kaum hawa dan golongan belia lebih ketara merasakan kesan negatif pandemik itu. Ini berdasarkan dapatan daripada dua tinjauan berasingan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih tertekan bekerja dari rumah berbanding petugas barisan hadapan?

(Gambar: Corinne Kutz/Unsplash)

Diterbitkan : 20 Aug 2020 10:01AM Dikemas Kini : 20 Aug 2020 10:05AM

SINGAPURA: Semasa pandemik COVID-19, rakyat Singapura yang bekerja dari rumah menghadapi tahap tekanan lebih tinggi berbanding kakitangan barisan hadapan, dengan kaum hawa dan golongan belia lebih ketara merasakan kesan negatif pandemik itu. Ini berdasarkan dapatan daripada dua tinjauan berasingan.

Tinjauan-tinjauan itu, dikeluarkan oleh Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pada Isnin (17 Ogos) yang mendapati lebih ramai wanita berkerjaya berkata mereka rasa kurang disokong ketika di rumah dan di pejabat berbanding dengan kaum Adam. Sementara itu, golongan belia berasa lebih resah tentang pandemik itu dan kurang berdaya tahan dari segi mental berbanding rakan seangkatan lebih tua.

Antara Mei dengan Jun tahun ini, pusat tersebut mendampingi sejumlah 3,256 responden untuk mendapatkan pandangan tentang tahap tekanan yang dirasai dan cara mengatasinya bagi demografik berbeza semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan yang menghadkan kegiatan serta pergerakan orang ramai pada April dan Mei.

Ia juga bekerjasama dengan wadah sumber masyarakat I Am A CCB (Community Care Buddy) untuk membangunkan lebih banyak sumber bagi kegunaan rakyat Singapura untuk menangani pandemik itu.

Tinjauan pertama - dipanggil Tinjauan Daya Tahan Tempat Kerja - bertanyakan responden bagaimana mereka mengatasi tekanan daripada pekerjaan dan bekerja dari rumah.

Dalam kalangan 114 kakitangan barisan hadapan dan 1,074 pekerja bekerja dari rumah yang memberikan respons, dapatan menunjukkan bahawa bekerja dari rumah boleh membawa tekanan sama atau lebih banyak tekanan berbanding bekerja di barisan hadapan.

Hasil tinjauan itu menunjukkan:

  • 61 peratus daripada mereka yang bekerja dari rumah melaporkan berasa tertekan apabila bertugas berbanding 53 peratus kakitangan barisan hadapan
  • 51 peratus daripada mereka yang bekerja dari rumah melaporkan berasa tertekan di luar waktu kerja mereka di rumah berbanding 32 peratus kakitangan barisan hadapan

Jururawat Am Kanan Umi Ummairah Mohamed Marican, 32 tahun, memberitahu Mediacrop beliau terkejut dengan dapatan tersebut. Sebagai seorang pekerja barisan hadapan, beliau menghadapi tahap tekanan tinggi di kedua-dua tempat kerja dan rumah, katanya.

Apabila beliau pulang ke rumah setelah sehari suntuk bekerja, ibu kepada tiga orang anak kecil itu, antara lain, masih perlu membantu mereka dengan kerja rumah dan program pembelajaran di rumah (HBL). Dua daripada anaknya berusia sembilan dan lapan tahun manakala yang bongsu berumur dua bulan.

Di tempat kerja, tambah Cik Umi, beliau perlu menjaga pesakit dan sentiasa rasa bimbang jika beliau akan merebakkan virus kepada orang tersayang dan perasaan ini mencengkam dirinya.

Sekitar separuh daripada responden tinjauan itu berkata mereka menerima sokongan secukupnya daripada kawan dan rakan kerja (43 peratus) manakala lebih separuh berkata mereka menerima sokongan secukupnya daripada keluarga (54 peratus).

Hanya segelintir berkata mereka:

  • Tidak yakin untuk menjalankan tugas dengan berkesan (19 peratus)
  • Tidak boleh menyesuaikan diri dan menangani dengan baik tugas mereka (21 peratus)

Mentelah lagi, hanya 21 peratus responden tidak bersetuju bahawa kepimpinan institusi mereka mengambil peduli tentang keselamatan dan kesejahteraan diri mereka.

WANITA LEBIH TERTEKAN KETIKA BEKERJA DI TEMPAT KERJA DAN RUMAH

Tinjauan tersebut juga mendapati perbezaan pada tahap tekanan antara jantina.

Tidak kira di mana mereka bekerja, wanita melaporkan lebih berasa tertekan ketika bekerja (61.3 peratus) berbanding lelaki (49.7 peratus).

Separuh daripada wanita yang ditinjau juga lebih berkemungkinan berasa tertekan di rumah berbanding 45.5 peratus lelaki.

Dalam kalangan mereka yang bekerja dari rumah, 63.8 peratus responden wanita berkata mereka berasa tertekan ketika sedang bekerja berbanding 52.5 peratus lelaki.

Cik Nur Hanisah, 29 tahun, bersetuju beliau menghadapi tahap tekanan lebih tinggi sejak beliau mula bekerja dari rumah apabila 'circuit breaker' dikuatkuasakan kerana ia memerlukan beliau untuk menggalas banyak tanggungjawab secara serentak.

Penjawat awam itu, yang juga seorang ibu kepada dua anak berusia dua tahun dan sembilan bulan, berkata selain melaksanakan pekerjaan, beliau perlu menjaga kedua-dua anaknya dan melakukan kerja rumah. Bagi kebanyakan hari, anak-anak beliau diletakkan di sebuah pusat jagaan siang hari.

Cik Hanisah berkata: "Bos menjangkakan tahap daya penghasilan yang sama apabila kita bekerja dari rumah tetapi ia sukar. Sekarang saya menjadikannya penting untuk mengutamakan kerja saya, merancang terlebih dahulu dan menambah baik kemahiran pengurusan masa saya."

BELIA KURANG DAYA TAHAN SECARA MENTAL

Tinjauan kedua, dipanggil Daya Tahan Kesihatan Mental, mengumpul respons 1,849 rakyat Singapura termasuk pelajar, dewasa yang bekerja dan tidak bekerja serta pesara.

Dapatan menunjukkan bahawa usia responden mempunyai kaitan dengan tanggapan mereka tentang daya tahan mental mereka sendiri - golongan lebih berusia lebih menganggap diri mereka sebagai berdaya tahan dari segi mental.

Peratus lebih tinggi responden lebih tua berusia 45 tahun dan ke atas berkata mereka:

  • boleh menangani emosi tidak menyenangkan seperti kesedihan, ketakutan dan kemarahan (50 peratus) berbanding responden lebih muda (41 peratus)
  • boleh bertenang dalam keadaan sukar (47 peratus) berbanding responden lebih muda (39 peratus)
  • yakin mereka boleh menghuraikan masalah dalam kehidupan mereka (61 peratus) berbanding responden lebih muda (49 peratus)

Responden lebih muda, berusia bawah 45 tahun, sebaliknya melaporkan lebih cenderung mempunyai pemikiran resah dan tumpuan perhatian:

  • 50 peratus berkata mereka kerap risau bahawa sesuatu buruk akan berlaku pada mereka atau orang tersayang berbanding 38 peratus responden berusia 45 tahun dan ke atas
  • 45 peratus berkata mereka sering memikirkan tentang perkara yang mereka tidak boleh ubah berbanding 25 peratus responden lebih tua

Lelaki lebih cenderung melaporkan ciri-ciri yang dianggap keupayaan daya tahan mental berbanding wanita, menurut tinjauan itu.

  • 47 peratus daripada mereka berkata mereka boleh terus bertenang dalam keadaan sukar berbanding 38 peratus wanita.
  • 57 peratus daripada lelaki yakin mereka boleh menghuraikan masalah berbanding 50 peratus wanita

Profesor Madya John Wong, pengarah Pusat Sains Minda NUHS dan ketua pakar perubatan dalam dua tinjauan itu, berkata: "Di tengah-tengah pandemik COVID-19, pengasingan sosial selama berbulan-bulan, ketidaktentuan mengenai berapa lama wabak itu akan berlarutan dan bagaimana kegawatan ekonomi akan berakhir turut menyumbang kepada peningkatan kegelisahan dalam kalangan sesetengah rakyat Singapura."

Beliau menambah bahawa hasil daripada dua tinjauan tersebut menunjukkan kesan terhadap kesihatan mental lebih dirasai oleh segmen tertentu penduduk, terutama golongan muda, wanita yang bekerja dan mereka yang bekerja dari rumah.

Beliau berharap dengan berkongsi hasil tinjauan itu, warga Singapura akan lebih menyedari tahap ketahanan mental mereka dan terdorong untuk menyesuaikan pemikiran mereka atau meminta pertolongan, jika perlu.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan