Lebih seribu orang sertai majlis buka puasa beramai-ramai di Arab Street
BERITAMediacorp: Hampir 1,200 orang menyertai majlis berbuka puasa beramai-ramai di Arab Street pada Sabtu (1 April) yang kembali diadakan sejak 2019.
Acara anjuran One Kampong Gelam (OKG) itu bertujuan memupuk semangat kemasyarakatan dan pada masa yang sama, menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan di kawasan GRC Jalan Besar dan penerima bantuan Baitul Mal Masjid Sultan.
Ia sebahagian daripada acara "Raikan Cahaya Ramadan 2023" yang bermula pada Rabu (15 Mac) lepas.
TAJA MEJA BUAT TUJUAN AMAL
Sebanyak 200 meja disediakan buat tempahan di sepanjang Arab Street.
Orang ramai diberikan pilihan untuk menempah meja sendiri untuk berbuka puasa ataupun menaja meja untuk tujuan amal bagi penerima bantuan Baitul Mal Masjid Sultan dan GRC Jalan Besar.

Acara tersebut dilancarkan dalam usaha untuk mengumpul dana bagi keluarga berpendapatan rendah di kawasan GRC Jalan Besar dan untuk memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan penduduk.
Di samping itu, OKG menyatakan bahawa acara kemasyarakatan sebegini boleh mendidik masyarakat dan memupuk pemahaman silang agama.

RAKAN PENGANJUR TURUN PADANG, HULUR BANTUAN
Rakan kongsi penganjur seperti syarikat minuman Coca Cola, Vision21 dan syarikat pelancongan Travelconnect.sg turut turun padang bagi menjayakan usaha murni ini.
Naib Presiden Komersil Coca Cola Singapura, Encik Khoo Ewe Leong, memuji usaha OKG untuk menyatukan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan.

Tambah beliau ini adalah kali pertama syarikat Coca Cola terlibat dalam acara besar-besaran seperti ini dan berharap acara sebegini dapat diteruskan dalam masa-masa mendatang.


"Harapan kita ialah supaya masyarakat dapat juga bekerjasama dengan Vision21 dan TravelConnect untuk membantu keluarga-keluarga yang memerlukan. Seperti apa yang kita tahu sekarang, kos barang-barang rumah sudahpun mula mahal. Jadi kita selalu harus mengambil perhatian keluarga-keluarga yang memerlukan terutama sekali di bulan Ramadan yang penuh barakah ini," tambah beliau.

Acara itu diserikan dengan kehadiran tetamu terhormat, Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee.
"Pada bulan Ramadan, bila saya hadiri majlis buka puasa, ustaz akan mengingatkan kami bahawa ia adalah masa untuk bermuhasabah dan untuk bersama-sama dengan keluarga, masa untuk bermaafan, bersatu sebagai sebuah masyarakat. Sesuatu yang unik tentang kita bila berbuka puasa, kita membukanya kepada rakyat Singapura berbilang kaum dan agama untuk memahami erti bulan Ramadan dan kami hargai cara bagi masyarakat berbilang kaum dan agama meraikan musim perayaan kita," kata Encik Lee.
Meski cuaca mulai mendung dan hujan turun dengan lebat menjelang waktu berbuka, acara bagi itu tetap diteruskan. Mujur hujan reda pada waktu berbuka.
Para hadirin yang menyertai acara itu turut meluahkan rasa seronok dapat terlibat dalam acara ini.
"Adalah baik untuk melakukan bahagian kita untuk menaja meja bagi keluarga berpendapatan rendah. Saya rasa sangat senang melihat warga Singapura di sini jadi saya rasa ini adalah masa yang sangat istimewa," kata Peserta yang mewakili syarikat Yenidraws, Cik Yeni Lim.


PESERTA DAPAT NIKMATI PERSEMBAHAN MENARIK SEPANJANG ACARA
Para mereka yang hadir dalam acara pada Sabtu (1 April) juga dihiburkan dengan kugiran Audionots dan selebriti Malaysia, Aliff Syukri pada sebelah malam.

Dalam edisi ketiga acara Raikan Cahaya Ramadan tahun ini, para pengunjung boleh menikmati juadah daripada gerai makanan dan minuman serta membeli keperluan Ramadan dan Syawal dari lebih 100 gerai di kawasan itu.
Para pengunjung juga dapat menikmati pancaran cahaya bertemakan seni dan budaya yang dikelolakan syarikat Goflykite di muka bangunan Masjid Sultan pada pukul 8.00 malam dan 10.30 malam setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.