Skip to main content

Singapura

Lebih separuh pelancaran kondominium dijangkakan di daerah luar bandar SG pada 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih separuh pelancaran kondominium dijangkakan di daerah luar bandar SG pada 2026

Kondominium privet pertama Tengah - Tengah Garden Residences - menyaksikan jualan yang memberangsangkan semasa pelancaran. (Gambar: Hong Leong Holdings)

Diterbitkan : 01 May 2026 03:04PM Dikemas Kini : 01 May 2026 03:05PM
SINGAPURA: Pasaran hartanah luar bandar Singapura dijangka menjadi tumpuan tahun ini, dengan lebih separuh pelancaran kondominium baharu dijangka di Luar Kawasan Tengah (OCR).

Anggaran pasaran meletakkan lonjakan sekitar 20 peratusan mata berbanding setahun yang lalu, mencerminkan peralihan yang semakin meningkat dalam kalangan pemaju dan pembeli ke arah kawasan luar bandar.

Penganalisis berkata ia dirangsang oleh perubahan pilihan pembeli, dengan penekanan yang lebih besar pada keterhubungan, kemudahan dan pertumbuhan masa depan, serta tindakan pemaju beralih ke arah kawasan dengan permintaan tempatan yang lebih kukuh.

PEMBELI TIDAK LAGI TERTUMPU PADA KAWASAN TENGAH

Pasaran perumahan privet Singapura biasanya dibahagikan kepada tiga daerah:

- Bahagian Tengah Bandar (CCR), yang meliputi daerah utama seperti Orchard dan Bukit Timah

- Baki Kawasan Tengah(RCR), atau daerah pinggir bandar seperti Tiong Bahru dan Queenstown

- Luar Kawasan Tengah (OCR), yang meliputi daerah luar bandar seperti Tengah dan Loyang

Kondominium privet pertama Tengah - Tengah Garden Residences - menyaksikan jualan yang kukuh semasa pelancaran hujung minggu lalu, manakala jualan en bloc Loyang Valley di Pasir Ris awal bulan ini juga menarik perhatian kepada lokasi luar bandar.

Para penganalisis berkata perubahan itu mencerminkan bagaimana pembeli menentukan lokasi, dengan kemudahan tidak lagi terikat hanya pada kawasan tengah.

"Dahulu, kita dapat melihat pembeli tertumpu pada daerah tertentu atau bahkan pada alamat tertentu yang mereka lihat berbeza daripada kawasan lain di Singapura," kata Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan analisis data di Huttons Asia.

“Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat pembeli lebih prihatin tentang ciri lokasi ... rangkaian pengangkutan, kemudahan seperti pusat beli-belah atau sekolah rendah.”

Ini mencerminkan perubahan yang lebih luas dalam landskap perumahan Singapura, di mana peningkatan prasarana dan perancangan bandar menjadikan kehidupan pinggir bandar lebih menarik dan berdaya maju untuk pelbagai pembeli.

Ini disokong oleh rangkaian rel Singapura yang semakin berkembang dan hab pekerjaan yang tidak tertumpu pada kawasan bandar, seperti Daerah Tasik Jurong dan Daerah Inovasi Jurong, yang dijangka membawa pekerjaan lebih dekat dengan kawasan perumahan, tambah Encik Lee.

Pembelian hartanah juga menjadi lebih didorong oleh gaya hidup, dengan pembeli memberi tumpuan kepada betapa mudahnya mereka boleh bergerak di sekitar Singapura, kata Encik Josh Ng, pensyarah adjung di Sekolah Perniagaan Lee Kong Chian di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

PERTUMBUHAN MASA DEPAN RANGSANG MINAT TERHADAP KAWASAN “TERPENCIL”

Kawasan yang dahulunya dianggap lebih terpencil semakin mendapat perhatian apabila pembeli mengambil kira rancangan pembangunan masa depan dan sambungan yang lebih baik, kata penganalisis.

Kejiranan seperti Tengah, Bayshore dan Tampines North dijangka akan menyaksikan lebih banyak perumahan dan prasarana yang akan dibina dalam beberapa tahun akan datang.

Tengah, misalnya, direka bentuk sebagai bandar yang kurang kereta dengan rangkaian pengangkutan bersepadu, termasuk Laluan Daerah Jurong yang akan datang.

Kawasan tersebut menyaksikan permintaan yang tinggi untuk flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan kondominium eksekutif (EC), walaupun ia belum siap sepenuhnya, kata Encik Lee.

Daya tarikan Loyang juga didorong oleh keterhubungan masa depan, katanya, sambil menambah bahawa persekitaran lebih tenang di kawasan tersebut merupakan satu lagi daya tarikan.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita