Skip to main content

Singapura

Lebih separuh daripada sasaran 60,000 tempat cas EV sudah dipasang di SG

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih separuh daripada sasaran 60,000 tempat cas EV sudah dipasang di SG

(Gambar: CNA/Lauren Chian)

Diterbitkan : 06 May 2026 02:32PM Dikemas Kini : 06 May 2026 02:34PM
SINGAPURA: Lebih separuh daripada sasaran 60,000 pengecas kenderaan elektrik (EV) di Singapura sudah dicapai, dengan 30,500 tempat mengecas sudah dipasang setakat Mac lalu.

Ini dimaklumkan oleh Menteri Negara Kanan Pengangkutan, Sun Xueling pada Rabu (6 Mei).

Beliau menjawab soalan di parlimen daripada AP Choo Pei Ling tentang penyelarasan antara agensi untuk memastikan prasarana pengecasan EV dipasang tepat pada masanya di kawasan perumahan baharu. Singapura menyasarkan untuk memiliki 40,000 pengecas EV di tempat letak kereta awam dan 20,000 di premis privet menjelang tahun 2030.

Cik Sun berkata, selaras dengan permintaan EV yang semakin meningkat, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memantau kadar penggunaan EV dengan teliti. LTA juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), serta JTC.

Agensi-agensi tersebut akan bekerjasama untuk memasang pengecas EV dan prasarana sokongan utama. "Bagi tempat letak kereta yang mempunyai permintaan tinggi, LTA akan bekerjasama dengan pengendali pengecas EV untuk menambah lebih banyak pengecas, bergantung kepada kapasiti elektrik yang ada," kata Cik Sun. Menjelang hujung 2027, sekurang-kurangnya satu pusat pengecasan pantas akan disediakan di setiap bandar HDB.

Mengikut statistik terbaru LTA, EV merangkumi 57.6 peratus daripada pendaftaran kereta baharu bagi suku pertama 2026. Ini adalah peningkatan berbanding 45 peratus yang dicatatkan pada keseluruhan tahun 2025.

PENGECAS EV DI TENGAH

Dalam soalan tambahan, Dr Choo berkata penduduk di Tengah berminat untuk bertukar kepada EV, tetapi sedang menunggu kemudahan pengecasan menjadi lebih mudah diakses. Beliau bertanya bagaimana maklum balas daripada kawasan seperti Tengah diambil kira dalam perancangan pemasangan pengecas EV.

Cik Sun menjelaskan bahawa Tengah kini mempunyai dua tempat letak kereta bertingkat yang sudah mempunyai pengecas EV, dan anak syarikat LTA iaitu EV-Electric Charging (EVe) sedang dalam proses memasang pengecas di lapan lagi tempat letak kereta bertingkat di kawasan itu.

Beliau menambah bahawa proses untuk estet BTO baharu sudah diperbaik. Bermula daripada projek BTO yang siap bulan lalu, satu aturan baharu dibuat di mana EVe akan bekerjasama rapat dengan HDB untuk mula memasang pengecas EV sebaik sahaja penduduk mula mengambil kunci rumah mereka. Ini membolehkan penduduk mendapat akses kepada pengecas EV dengan lebih awal.

KESELAMATAN KEBAKARAN

Soalan mengenai keselamatan kebakaran berkaitan pemasangan pengecas EV di tempat letak kereta HDB turut dibangkitkan oleh AP Yeo Wan Ling.

Menteri Negara bagi Pembangunan Negara, Alvin Tan, berkata semua tempat letak kereta HDB direka dan dibina mengikut kod kebakaran yang ditetapkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Ini termasuk penyediaan hos bomba, laluan kenderaan bomba, serta pengudaraan semula jadi atau mekanikal untuk menyuraikan asap dan haba.

Beliau menambah bahawa semua pengecas EV yang dipasang di tempat letak kereta HDB mesti mematuhi ketetapan teknikal dan keperluan keselamatan yang ketat bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita