Lebih sedekad menanti, peluang tunai Haji jadi hadiah ulang tahun teristimewa
SINGAPURA: Bagi Encik Md Rizal Othman, mungkin tiada hadiah ulang tahun yang lebih bermakna selain menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
Ulang tahun kelahirannya yang ke-54 tahun ini bakal diraikan dengan cara yang cukup berbeza di bumi Arafah bersama isterinya, Cik Noraini Abdul Sahar, 41 tahun.
Menyifatkannya sebagai hadiah istimewa, Encik Rizal berkata: “Terharu jugalah sebab pada saya ini macam jemputan daripada Allah, kita dijemput pula pada hari jadi.”
Dengan hanya beberapa hari sebelum berangkat, pasangan itu kini sibuk membuat persiapan terakhir menjelang keberangkatan mereka bersama Hagel Travels & Tours.
“Lagi berdebar-debar, tapi Alhamdulillah, sebab kita ada hadiri kursus, taklimat dan sebagainya yang dianjurkan pihak pelancangon. Juga, MUIS adakan majlis untuk keberangkatan jemaah haji. Jadi, bila mereka adakan itu, mereka tunjuk sedikit sebanyak apa yang boleh kami jangkakan di sana. Secara tak langsung, ia membantu mengurangkan rasa gementar,” ujar Encik Rizal.
Ketua khidmat pelanggan dalam sektor automasi itu turut mengambil cuti selama sebulan bagi menunaikan ibadah hajinya.
BUAT PERSIAPAN TERATUR BAGI URUSAN ANAK-ANAK
Namun bagi pasangan tersebut, persiapan kali ini bukan sekadar tertumpu kepada pakaian, ubat-ubatan atau barang keperluan perjalanan.
Sebagai ibu bapa kepada tiga anak berusia 13, 11 dan enam tahun, mereka juga perlu memikirkan pelbagai urusan keluarga sebelum meninggalkan Singapura buat sementara waktu.
Mereka mula mendaftar pada 2014 dan hanya menerima Surat Hasrat (LOI) sedekad kemudian.
“Pada mulanya, terkejut dan terperanjat sebab anak-anak masih kecil, masih bersekolah. Jadi, kami terus fikir tentang siapa yang akan menjaga mereka semua,” kongsi Cik Noraini, seorang suri rumah sepenuh masa.
Pada ketika itu, mereka menyangka tawaran keberangkatan akan berlaku dalam tempoh terdekat.
Mereka kemudian menerima Surat Tawaran Rasmi (LOO) pada Disember 2025.
“Bila dapat tawaran itu, kami sudah lebih bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan, termasuk membuat persiapan serta mengatur penjagaan anak-anak,” tambah beliau.
Sepanjang mereka berada di Tanah Suci nanti, ahli keluarga lain akan membantu menguruskan anak-anak dan menghantar mereka ke sekolah, di samping menjaga ibu bapanya yang sudah lanjut usia dan tinggal bersama mereka di Choa Chu Kang.
Malah, mereka turut mendapatkan panduan menerusi perkongsian jemaah lain di TikTok bagi memahami keadaan sebenar di Tanah Suci, termasuk suasana di Mina dan Arafah serta barang-barang yang perlu dibawa.
“Daripada situ, sedikit sebanyak kami dapat belajar dan memahami apa yang boleh dijangkakan apabila berada di Tanah Suci nanti,” kata Cik Noraini.
JADUAL KEBERANGKATAN, KEPULANGAN YANG DISELARASKAN BERI KEYAKINAN KEPADA BAKAL JEMAAH
Pasangan itu juga menyambut baik beberapa perubahan yang diperkenalkan bagi musim haji tahun ini, termasuk penerbangan langsung serta keberangkatan dan kepulangan jemaah Singapura secara bersama sebagai satu kontinjen.
“Alhamdulillah, kami rasa sangat bersyukur dan lebih tenang dengan perubahan tahun ini. Dengan penerbangan terus dan jemaah berangkat serta pulang bersama-sama, semuanya terasa lebih teratur dan selesa, terutama bagi jemaah yang pertama kali menunaikan haji seperti kami.
“Pada masa yang sama, ia juga memberi rasa ukhuwah dan kebersamaan yang lebih kuat kerana seluruh jemaah Singapura melalui perjalanan istimewa ini bersama-sama,” kata Cik Noraini.
Walaupun keadaan dunia ketika ini masih tidak menentu, pasangan itu tetap tenang dan percaya bahawa sekiranya sudah ditentukan rezeki mereka untuk menjadi tetamu Allah, perjalanan tersebut akan dipermudahkan.
“Kami ikut berita dan perkembangan daripada MUIS, jadi sedikit sebanyak ia membantu menenangkan kebimbangan kami,” tambah Encik Rizal.
Meskipun pada awalnya bercadang untuk ke lapangan terbang sendiri demi mengelakkan ahli keluarga bersusah payah, rancangan itu berubah apabila beberapa sahabat mereka menawarkan diri untuk menghantar mereka berangkat.
Encik Rizal dan Cik Noraini merupakan rombongan kedua yang akan berangkat pada 12 Mei.
Rombongan pertama akan berangkat pada 9 Mei, manakala rombongan terakhir dijadual bertolak pada 14 Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.