Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih S$6.7 juta lesap dek kes penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah pada Sep

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pihak berkuasa memberi amaran pada Khamis (10 Okt) mengenai kenaikan jumlah kes penipuan yang menyamar sebagai pegawai pemerintah, dengan kerugian sekurang-kurangnya S$6.7 juta pada September.

Sekurang-kurangnya 100 kes juga dilaporkan pada waktu itu, menurut polis dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan media bersama.

Dalam jenis penipuan ini, mangsa akan menerima panggilan tidak diminta daripada penipu yang menyamar sebagai pegawai bank, biasanya daripada DBS, OCBC, UOB atau Standard Chartered Bank.

Penipu akan memaklumkan kepada mangsa bahawa terdapat kad kredit dikeluarkan di bawah nama mereka, atau ada urus niaga yang mencurigakan atau palsu yang dikesan pada akaun bank mangsa, dan akan meminta mangsa mengesahkan urus niaga kewangan ini.

Apabila mangsa menafikan bahawa mereka tahu tentang urus niaga sedemikian, penipu akan memindahkan panggilan kepada orang kedua yang akan menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai MAS.

Ada kalanya, penipu akan membuat panggilan video dengan berpakaian seperti pegawai polis atau MAS, menggunakan lencana dan latar belakang palsu dengan logo agensi berkenaan.

Komunikasi antara penipu kedua dengan mangsa kemudian dipindahkan ke aplikasi mesej seperti WhatsApp, menurut pihak berkuasa.

"Dalam beberapa keadaan, penipu mungkin memberikan kad waran tangkap palsu atau dokumen rasmi palsu untuk memperkuat rasa percaya mangsa kepada penipuan mereka.

“Penipu akan menuduh mangsa terlibat dalam aktiviti jenayah seperti pengubahan wang haram dan meminta mangsa memindahkan wang ke ‘akaun yang selamat’ yang ditetapkan pemerintah untuk membantu siasatan,” tambah pihak berkuasa.

Tangkapan skrin waran tangkap palsu. (Gambar: SPF, MAS)
Tangkapan skrin laporan palsu MAS. (Gambar: SPF, MAS)

Mangsa hanya akan menyedari bahawa mereka ditipu apabila "pegawai" tidak dapat dihubungi atau apabila mereka meminta pengesahan status kes mereka dengan bank atau polis.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya menggunakan ciri keselamatan pada peranti mudah alih mereka atau ciri Money Lock untuk akaun bank mereka.

Pihak berkuasa juga mengingatkan orang ramai bahawa polis tidak akan meminta orang awam memindahkan wang ke dalam "akaun yang selamat" yang dimiliki bank atau polis pada awal siasatan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya memeriksa tanda-tanda penipuan menerusi sumber rasmi seperti talian bantuan ScamShield dan juga tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti butiran Singpass mereka.

“Jika anda mengesyaki anda menjadi mangsa penipuan, hubungi bank anda dengan segera untuk melaporkan dan menyekat sebarang urus niaga penipuan serta membuat aduan polis,” menurut pihak berkuasa.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan