Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih S$633 juta lesap akibat kes-kes penipuan tahun lalu

Kes-kes jenayah fizikal sebenarnya merosot tahun lalu, tetapi kenaikan mendadak dalam jumlah kes penipuan mengakibatkan bilangan keseluruhan jenayah di Singapura melonjak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih S$633 juta dilaporkan hangus tahun lalu ekoran pelbagai kes penipuan. Pasukan Polis Singapra (SPF) juga mendedahkan bahawa tahun lalu, ia menyiasat dan menangkap lebih daripada 7,500 'scammers'.

Agensi keselamatan itu mendedahkan demikian hari ini (16 Feb) semasa berkongsi perangkaan jenayah 2021.

Menurut polis, kes-kes jenayah fizikal sebenarnya merosot tahun lalu, tetapi kenaikan mendadak dalam jumlah kes penipuan mengakibatkan bilangan keseluruhan jenayah di Singapura melonjak kepada hampir 46,200 kes.

PENIPUAN PEKERJAAN "PALING MEMBIMBANGKAN"

SPF menyatakan, kes-kes penipuan meningkat sekitar 53% kepada lebih 23,900 kes tahun lalu. Ini jelas kenaikan besar berbanding lebih 15,600 kes pada tahun sebelumnya.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya (DAC) Polis Aileen Yap, yang juga Penolong Pengarah Divisyen Antipenipuan Jabatan Ehwal Komersil berkata jenis penipuan yang paling membimbangkan ialah penipuan pekerjaan.

Ia merupakan jenis penipuan paling banyak berlaku dengan lebih 4,500 kes dicatat tahun lalu. Ini peningkatan sangat mendadak berbanding sekitar 130 kes sahaja pada tahun 2020, menurut data SPF.

"Daripada tiada kedudukan pada 2020, ia melonjak hingga ke kedudukan pertama. Malah penipuan pekerjaan adalah jenis penipuan yang boleh menyasarkan mana-mana individu daripada pelajar ke pekerja kolar putih atau biru mahupun pesara," kata DAC Yap.

DAC Aileen Yap

Menurut beliau, cara penipuan pekerjaan disebarkan dengan "sangat mudah", iaitu menerusi Telegram, WhatsApp atau media sosial.

"Bagi penipuan pekerjaan tahun lalu, kami membanteras sembilan sindiket penipuan pekerjaan dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia dan Pasukan Polis Hong Kong," dedah beliau.

PENIPUAN PELABURAN ALAMI KERUGIAN TERTINGGI

Selepas kes-kes penipuan kerja, kes penipuan lain yang utama ialah penipuan pancingan data tidak terkait dengan bank, penipuan e-dagang, penipuan pelaburan dan penipuan pinjaman.

crime stats

Kes penipuan pelaburan bagaimanapun melibatkan paling banyak jumlah kerugian iaitu lebih $190 juta.

Secara keseluruhannya menurut polis, lebih $504 juta lesap ditipu disebabkan 10 jenis utama penipuan tahun lalu - jumlah tertinggi sejak lima tahun lalu.

90% PENIPUAN DARI LUAR NEGARA, 16 SINDIKET DIBANTERAS TAHUN LALU

Sekurang-kurangnya 90% penipuan di Singapura, tambah polis, berpunca dari dalang luar negara.

Demi menanganinya, SPF kini mahu memperkukuh lagi kolaborasi dengan agensi-agensi polis luar negara.

DAC Yap berkata: "Sebagai contoh, tahun lalu, kami membanteras 16 sindiket penipuan, dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dari luar negara seperti Polis DiRaja Malaysia dan Pasukan Polis Hong Kong. Ini membawa kepada penangkapan lebih 230 anggota sindiket."

Sindiket-sindiket yang dibanteras termasuk sembilan sindiket penipuan pekerjaan, empat sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai pemerintah atau pegawai China dan tiga sindiket penipuan cinta internet tahun lalu.

"Sangat penting bagi kami bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi menyekat aliran wang daripada entiti itu, tidak kira akaun bank, e-dompet atau akaun mata wang krypto.

"Ia juga menerusi kolaborasi kukuh yang membolehkan saluran langsung perhubungan bagi campur tangan kes penipuan yang menyokong usaha negara memerangi penipuan.

"Setiap anggota masyarakat mempunyai peranan untuk berjaga-jaga dan kekal berwaspada menentang penipuan," kata DAC Yap.

SCAMSHIELD BAKAL DISEDIAKAN BAGI PENGGUNA ANDROID

Kini dalam usaha berterusan memerangi penipuan, polis akan memperkenalkan aplikasi ScamShield yang berupaya mengenal pasti dan menyaring mesej penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI), bagi para pengguna Android dalam separuh pertama tahun ini.

Sejak dilancarkan bagi pengguna iPhone pada November 2020, lebih 3.7 juta SMS dan panggilan dikenal pasti sebagai kemungkinan penipuan dan lebih 15,500 nombor telefon disekat daripada membuat panggilan kepada para pengguna aplikasi itu.

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap penipuan e-dagang, Jawatankuasa Berbilang Kementerian berhubung Penipuan (IMCS) akan memperkenalkan Penilaian Keselamatan Urus Niaga Ruang Pemasaran E-Dagang (TSR) pada suku kedua tahun ini.

Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) dan SPF, dengan kerjasama SGAG, turut melancarkan video pendek anti penipuan yang menggambarkan taktik-taktik penipuan menerusi platform-platform media sosial.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan