Skip to main content

Singapura

Lebih S$30 juta kredit Pas Budaya SG ditebus; portal baharu mudahkan warga emas sertai kegiatan budaya

Sekitar 411,000 rakyat Singapura sudah menggunakan kredit Pas Budaya SG bernilai lebih S$30.4 juta sepanjang tahun pertama skim itu, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Rabu (2 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih S$30 juta kredit Pas Budaya SG ditebus; portal baharu mudahkan warga emas sertai kegiatan budaya

Konsert Orkestra Cina Singapura. (Gambar: Facebook/Singapore Chinese Orchestra)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 01:21PM
SINGAPURA: Sekitar 411,000 rakyat Singapura sudah menggunakan kredit Pas Budaya SG bernilai lebih S$30.4 juta sepanjang tahun pertama skim itu, menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Rabu (2 Sep).

Setakat 31 Ogos, sekitar S$2.9 juta telah dibelanjakan untuk buku-buku kesusasteraan Singapura, manakala sekitar S$1.6 juta lagi digunakan untuk filem tempatan.

Daripada 1.4 juta rakyat Singapura yang mendaftar bagi Pas Budaya SG, 68 peratus tidak menghadiri sebarang acara seni dan budaya tempatan dalam tempoh lima tahun sebelumnya, menurut MCCY.

Kementerian itu menambah bahawa ia bekerjasama dengan Pusat Penuaan Aktif, kelab masyarakat dan rumah jagaan untuk menganjurkan kegiatan-kegiatan kebudayaan bagi warga emas.

Rakan-rakan kerjasama tersebut membantu mengenal pasti acara yang sesuai, menebus kredit Pas Budaya SG dan merancang kegiatan berkenaan, sekali gus membantu warga emas mengatasi hambatan seperti tahap celik digital dan masalah pergerakan.

Bagi memudahkan penganjuran kegiatan sedemikian, MCCY akan memperkenalkan Portal Group-Assist (Portal Bantuan Berkumpulan) baharu mulai pertengahan Oktober, yang membolehkan lebih banyak rakan masyarakat menganjurkan kegiatan secara berkumpulan dan memudahkan proses penebusan kredit Pas Budaya SG.

Portal itu akan diuji bagi kegiatan-kegiatan yang dianjurkan dari November hingga Disember dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan seperti Lions Befrienders dan Care Corner Seniors Services.

"Pelancaran 'Portal Group-Assist' baharu akan membantu kami untuk terus menyokong warga emas agar mereka dapat kekal berhubung secara sosial dan aktif dari segi mental menerusi kegiatan yang dirancang bagi menyertai program Pas Budaya SG," kata Timbalan Pengarah Care Corner Active Ageing Group Sharon Tang.

MENDEKATI GOLONGAN BAHARU

Sembilan daripada 10 responden tinjauan yang telah menghadiri program dengan menggunakan kredit Pas Budaya SG mengatakan bahawa mereka bersedia menghadiri kegiatan dan persembahan budaya tempatan di luar jangkauan Pas Budaya SG.

Golongan belia berusia antara 18 dengan 35 tahun membentuk 43 peratus penggunaan kredit tersebut, manakala golongan dewasa dan warga emas masing-masing mencatatkan 38 peratus dan 19 peratus, menurut MCCY.

Acara secara langsung merupakan jenis program paling lazim, yang disokong Pas Budaya SG dan mencatatkan jumlah terbesar penggunaan kredit dalam semua kumpulan usia.

"Pas Budaya SG memberikan dorongan penting ini," kata Zamil Penyelidik Utama dan Pengarah Makmal Dasar Kebudayaan di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA), Dr Hoe Su Fern.

"Ia memberikan pendedahan awal yang penting kepada seni," kata beliau, sambil menambah bahawa langkah tersebut dapat membantu menjadikan kegiatan seperti menonton pementasan atau mempelajari seni tembikar sebagai aktiviti riadah yang biasa dilakukan.

Namun, Dr Hoe menarik perhatian bahawa satu kunjungan sahaja jarang dapat membentuk tabiat yang berkekalan. Sama ada seseorang itu akan kembali melakukan sesuatu bergantung kepada usaha penggiat, pertubuhan dan pihak-pihak yang menyokong sektor tersebut untuk mengubah pengalaman awal menjadi hubungan yang lebih berpanjangan.

Diperkenalkan pada September 2025 bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura menikmati seni dan warisan tempatan, Pas Budaya SG kini menyokong lebih 1,400 program kebudayaan, 3,100 buku dan 23 filem.

Lebih 900 rakan seni dan warisan, 76 penerbit dan 17 kedai buku terlibat dalam skim tersebut.

Rakyat Singapura yang layak dan berusia 18 tahun ke atas pada 2025 telah menerima kredit Pas Budaya SG bernilai S$100, yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2028.

MCCY menyatakan ia akan terus menyemak Pas Budaya SG dan bekerjasama dengan rakan-rakan sektornya bagi memastikan skim tersebut kekal relevan, inklusif dan berkesan dalam menggalakkan penyertaan.

Ini termasuk terus memperbaharui rangkaian tawaran yang layak dan meneroka cara-cara untuk memperluaskan rangkaian platform penjualan tiket yang diluluskan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita