Lebih S$1.2 juta lesap dalam penipuan pancingan data menyamar syarikat penghantaran
Sekurang-kurangnya 250 mangsa kerugian lebih S$1.2 juta akibat penipuan pancingan data atau 'phishing' sejak 24 Jun lalu.
Penipu menghantar mesej melalui iMessage dengan menyamar sebagai syarikat penghantaran bungkusan sebelum mengarahkan mangsa menekan pautan untuk mengemas kini maklumat peribadi. (Gambar hiasan: iStock)
Dalam kes-kes tersebut, penipu menyamar sebagai syarikat penghantaran bungkusan dan menghantar mesej kepada mangsa melalui iMessage daripada nombor asing.
Menurut polis, mesej itu mendakwa bungkusan mangsa gagal dihantar kerana alamat yang diberikan tidak sah.
Penipu turut menggunakan nama syarikat penghantaran terkenal seperti DHL atau Ninja Van bagi memperdayakan mangsa.
Mangsa kemudian diarahkan menekan pautan yang diberikan untuk mengemas kini maklumat peribadi mereka.
Mereka seterusnya diminta membayar caj penghantaran semula dalam jumlah kecil dan memasukkan butiran pembayaran.
Ramai mangsa hanya menyedari mereka ditipu selepas mendapati terdapat transaksi tanpa kebenaran pada akaun bank atau kad kredit mereka.
Polis mengingatkan orang ramai bahawa syarikat penghantaran lazimnya tidak menghubungi pelanggan melalui iMessage.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menekan pautan mencurigakan atau memberikan maklumat peribadi dan butiran pembayaran melalui pautan sedemikian.
Mereka juga digesa supaya segera melaporkan sebarang mesej yang mencurigakan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.