Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih S$150,000 berjaya dikumpul bagi mangsa kebakaran flat Whampoa

Lebih S$150,000 berjaya dikumpulkan Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau bagi keluarga Cik Norizan Abu Hassan yang flat sewanya di Whampoa terbakar pada 28 Februari lalu. Demikian menurut masjid tersebut kepada BERITAmediacorp pada Selasa (11 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih S$150,000 berjaya dikumpulkan Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau bagi keluarga Cik Norizan Abu Hassan yang flat sewanya di Whampoa terbakar pada 28 Februari lalu. Demikian menurut masjid tersebut kepada BERITAmediacorp pada Selasa (11 Mei).

Keluarga lapan orang itu sebelum ini tinggal sehelai sepinggang dan segala isi flat mereka musnah sama sekali ekoran kebakaran besar di 22 Jalan Tenteram itu itu. Enam daripada anggota keluarga Muslim itu juga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk dirawat ekoran kejadian itu.

Menerusi satu kempen mengumpul derma yang digerakkan masjid tersebut, sumbangan masyarakat terus melimpah masuk bagi keluarga tersebut meskipun pengumpulan dana yang dilancarkan masjid itu sudahpun ditamatkan pada hari yang sama ia dilancarkan pada 2 Mac lalu.

(Gambar: SCDF)

Pengumpulan dana itu terpaksa ditamatkan disebabkan "respons memberangsangkan dalam hanya masa sehari" dan "kekurangan sumber" bagi pihak masjid.

Pada 3 Mac, BERITAmediacorp melaporkan bahawa sumbangan berjumlah "lima angka" berjaya dikumpulkan untuk keluarga mangsa kebakaran itu. Namun ternyata jumlah yang dikumpulkan jauh lebih banyak, iaitu 'enam angka' atau sekitar S$151,000.

Naib Pengerusi Masjid Rahimabi Kebun Limau, Encik Mohd Azhar Khalid menjelaskan dana itu akan disalurkan untuk membantu keluarga Cik Norizan dalam beberapa aspek.

Sebahagian besar daripada wang yang dikumpulkan itu akan diperuntukkan bagi membantu keluarga Cik Norizan membayar flat baru BTO mereka. Sebahagian lagi akan diketepikan bagi membiayai pendidikan anak-anaknya.

Selebihnya dihulurkan kepada keluarga tersebut dalam bentuk wang tunai.

Encik Azhar dan Bendahari Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau, Encik Firdaus Salim, (gambar bawah) berkunjung ke rumah Cik Norizan pada Selasa (11 Mei) untuk menghulurkan cek tersebut. 

"Juga sebahagian wang itu akan diagihkan kepada sebilangan keluarga yang juga jiran-jiran kepada mangsa kebakaran itu, yang turut terjejas dalam kebakaran tersebut," kata Encik Azhar.

Beliau menambah bahawa keluarga tersebut mengalu-alukan dan bersetuju kepada pengagihan yang diusulkan. Pihak masjid pula secara sukarela memikul tanggungjawab sebagai pentadbir dana itu sehingga semuanya sudah dihulurkan.

"Ini kerana masjid bergantung kepada langkah-langkah audit ketat dan ini bagi memastikan kebertanggungjawaban bagi semua pihak," jelas Encik Azhar.

Ini juga kali pertama Masjid Rahimabi Kebun Limau menjalankan usaha bantuan kemanusian seumpama ini kepada mangsa kebakaran yang tinggal berdekatan dengan masjid tersebut.

Semasa kejadian itu, Cik Norizan terpaksa terjun dari tingkat dua flatnya itu. Akibatnya kakinya cedera dan sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan