Skip to main content

Singapura

Lebih ramai warga Singapura sedar akan perubahan iklim, sanggup tampung kos untuk pelihara bumi

Lebih 90 peratus rakyat Singapura sedar akan kesan perubahan iklim, dengan sebilangan besar daripada mereka sanggup melakukan lebih termasuk menanggung kesulitan dan membayar kos lebih tinggi untuk membantu menangani masalah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai warga Singapura sedar akan perubahan iklim, sanggup tampung kos untuk pelihara bumi
Diterbitkan : 16 Dec 2019 11:19PM Dikemas Kini : 16 Dec 2019 11:25PM

SINGAPURA: Lebih 90 peratus rakyat Singapura sedar akan kesan perubahan iklim, dengan sebilangan besar daripada mereka sanggup melakukan lebih termasuk menanggung kesulitan dan membayar kos lebih tinggi untuk membantu menangani masalah itu.

Bagaimanapun tinjauan terbaru oleh Sekretariat Perubahan Iklim Negara itu juga mendapati tidak ramai yang tahu bagaimana mereka boleh membuat perubahan.

Kesan perubahan iklim ke atas paras air laut yang meningkat, cuaca lebih kering dan panas serta sistem ekologi semakin dirasakan di merata dunia sekali gus membantu meningkatkan kesedaran awam.

Satu tinjauan dwi tahunan ke atas 1,000 penduduk yang dijalankan awal tahun ini antara Mei dan Julai mendapati kira-kira 95 peratus tahu tentang perubahan iklim.

Ia satu peningkatan berbanding 90 peratus yang dicatatkan pada 2017.

Jumlah yang sama juga menyokong peralihan negara ke arah ekonomi yang rendah karbon.

Bagimanapun, hanya kira-kira separuh yang ditinjau berkata mereka tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu.

Meskipun demikian, lebih ramai rakyat Singapura sudah mengambil langkah ke arah mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dioksida.

Lebih 90 peratus responden berkata mereka cuba mengurangkan penggunaan air dan elektrik.

Namun, jumlah yang berusaha untuk mengurangkan pembaziran makanan jauh ketinggalan yakni sekitar 80 peratus.

Tinjauan itu juga mendapati sebilangan besar penduduk bersedia untuk membayar lebih bagi melindungi bumi ini, hampir 8 dalam 10 berkata mereka bersedia menanggung kos tambahan untuk membantu Singapura berubah menjadi ekonomi rendah karbon. Ini termasuk membayar lebih bagi barangan plastik dan penggunaan tenaga.

Seorang pakar alam sekitar bagaimanapun berkata lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk menggalak penduduk mengamalkan gaya hidup mesra alam.

Menurut Cik Nor Lastrina Hamid Pengasas bersama, Pemuda Singapura bagi Tindakan Iklim: "Mereka boleh mulakan dengan perkara-perkara mudah seperti mengambil pengangkutan awam atau melalui tingkah laku harian mereka. Ia juga boleh menerusi amalan lebih strategik seperti di tempat kerja, jika kita boleh berbincang dengan pihak pengurusan untuk memperbaiki infrastruktur tertentu atau menggunakan beberapa garis panduan yang lebih utamakan gaya hidup mesra alam."

Di pihak pemerintah, Sekretariat Perubahan Iklim Negara mengatakan ia akan terus bekerjasama dengan perniagaan dan orang ramai untuk menghasilkan huraian bagi memastikan masa depan yang mampan dan berdaya tahan. 

Sumber : CNA/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita