Lebih ramai warga S'pura buat permohonan Surat Kuasa Peguam Berkekalan
Lebih ramai warga Singapura membuat permohonan bagi Surat Kuasa Peguam Berkekalan (LPA).

(Gambar hiasan: Sebastien Bozon/AFP)
SINGAPURA: Lebih ramai warga Singapura membuat permohonan bagi Surat Kuasa Peguam Berkekalan (LPA).
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga menyatakan secara purata ia menerima sebanyak 2,100 permohonan setiap bulan pada tahun lalu.
Jumlah itu satu lonjakan berbanding purata lebih 900 permohonan yang diterima pada 2017.
Penyakit seperti demensia boleh menyebabkan seseorang individu hilang keupayaan untuk membuat keputusan secara rasional.
Maka itu, lebih ramai warga Singapura membuat permohonan LPA bagi melindungi kepentingan mereka sekiranya mereka hilang keupayaan mental untuk membuat keputusan.
LPA membolehkan seseorang yang dipercayai membuat keputusan-keputusan penting bagi individu berkenaan.
Setakat Disember lalu, sekitar 60,000 orang sudah berjaya membuat LPA.
Jumlah permohonan bagi LPA meningkat setiap tahun sejak skim itu diperkenalkan sembilan tahun lalu.
Menjelang Ogos lalu, lebih 16,000 orang sudah membuat permohonan dan jumlah itu yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Selain warga tua, golongan muda juga membuat permohonan.
Kesemua permohonan LPA yang dibuat adalah menerusi Pejabat Penjaga Awam.
Pejabat itu sudah menambah lebih banyak sumber bagi menampung jumlah permohonan yang meningkat.
Sebuah sistem dalam talian juga akan diperkenalkan dalam masa dua tahun bagi memendekkan masa memproses.
Namun, kerumitan mencari individu yang dipercayai untuk dilantik bagi surat pengesahan itu boleh menghalang seseorang daripada membuat permohonan LPA.
Ini terutama sekali jika individu berkenaan tidak mempunyai talian keluarga yang kukuh.
Tahun lalu, 20 karyawan dilantik sebagai alternatif untuk memudahkan LPA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.