Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai warga emas hidapi hernia; NUH buka Pusat Pakar Hernia

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai warga emas hidapi hernia; NUH buka Pusat Pakar Hernia

Profesor Davide bersama Cik Rosnah, antara pesakit yang dirawatnya di Pusat Pakar Hernia NUH. (Gambar: NUH)

SINGAPURA: Sebuah pusat pakar hernia dengan kemudahan dan keupayaan canggih dibuka di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Ini memandangkan jumlah warga emas yang menghidap hernia dan memerlukan rawatan lebih baik dan menyeluruh kian meningkat.

Menurut NUH, kes hernia kini lebih rumit dalam kalangan warga emas yang selalunya mempunyai masalah kesihatan kronik yang lain.

Ini termasuk Cik Rosnah Awang, 65 tahun.

Apabila menjalani pembedahan bagi mengeluarkan batu karang, Cik Rosnah tidak menyangka rawatannya di hospital akan berlarutan sehingga dua bulan akibat satu jangkitan.

Luka pembedahannya tidak pulih sepenuhnya dan sebahagian usus besar dan hatinya terkeluar daripada dinding perut beliau menyebabkan masalah dipanggil hernia.

Pembedahan hernia lazimnya tidak mengambil masa yang lama namun Cik Rosnah perlu menurunkan berat badannya dahulu kerana menghidap masalah kencing manis.

Beliau diberi rawatan menyeluruh termasuk pemantauan di bawah pakar diet.

"Kita perlu memastikan keadaan pesakit sebaik mungkin sebelum pembedahan. Oleh itu, pusat ini merupakan pusat pelbagai disiplin yang merangkumi pelbagai kepakaran termasuk pakar diet dan termasuk juga pakar bedah dan pakar radiologi yang khusus misalnya kerana kami perlu meneliti lebih-lebih lagi bahagian perut yang rumit. Kita perlu lihat keadaan otot dan bagaimana melakukan pembedahan pada perut bagi memberikan mutu kehidupan yang baik kepada pesakit," jelas Konsultan Kanan, Jabatan Pembedahan NUH, Profesor Davide Lomanto.

 
Profesor David menjelaskan prosedur rawatan kepada Cik Rosnah. (Gambar: NUH)
Sepertiga daripada pesakit hernia berusia 60 tahun ke atas.

Hospital itu juga menyaksikan peningkatan jumlah pesakit dengan masalah itu sebanyak 15 peratus setiap tahun sepanjang lima tahun lalu.

Bagi Cik Rosnah yang sudah meraih manfaat daripada khidmat rawatan yang menyeluruh di pusat itu, beliau berharap ia juga akan dapat meningkatkan lagi kesedaran orang ramai tentang masalah kesihatan tersebut.

"Bila dibuka Pusat Hernia ini, supaya dapat memberi manfaat kepada orang di luar, apa itu hernia dan beri pengetahuan yang luas, apa itu hernia. Jadi kita tidak takut untuk mendapatkan rawatan untuk hernia dan tak ragu-ragu untuk dapatkan rawatan hernia di sini," kata Cik Rosnah.

Pusat di NUH itu juga menyediakan sokongan psikologi kepada pesakit termasuk kaunseling sebelum dan selepas pembedahan.

Sebuah aplikasi telefon bijak turut akan dilancarkan bagi memantau keadaan pesakit selepas pembedahan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan