Skip to main content

Singapura

Lebih ramai suspek didakwa dalam kes curi wayar dari bangunan sekolah kosong, syarikat pembaikan kapal

Lebih banyak lelaki didakwa dengan tuduhan memecah masuk bangunan untuk mencuri dawai tembaga, dengan jumlah keseluruhan kini mencecah S$525,000.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai suspek didakwa dalam kes curi wayar dari bangunan sekolah kosong, syarikat pembaikan kapal

(Gambar: TODAY, Google Street View)

Diterbitkan : 14 May 2020 05:42PM Dikemas Kini : 14 May 2020 05:45PM

SINGAPURA: Lebih banyak lelaki didakwa dengan tuduhan memecah masuk bangunan untuk mencuri dawai tembaga, dengan jumlah keseluruhan kini mencecah S$525,000.

Empat lelaki kini dituduh mencuri wayar bernilai S$500,000 keseluruhannya daripada 3NC Singapore, iaitu sebuah syarikat membina dan membaiki kapal. Salah seorang daripada lelaki berkenaan terkait dengan satu lagi kecurian bersama tiga lelaki lain melibatkan wayar bernilai S$25,000 dari tiga bangunan sekolah yang kosong.

Baki wayar dalam tuduhan baru yang dikenakan pada minggu lalu didakwa dicuri oleh empat lelaki berusia antara 27 dengan 36 tahun.

Warga Bangladesh Mamun, Ahamed Mahfuz, Alam Mohammad Khorshed dan Islam Dwin dituduh memecah masuk bangunan yang menempatkan syarikat 3NC Singapore di 16 Tuas Avenue 1 untuk memotong dan mencabut kesemua wayar di situ.

Mereka didakwa memotong pagar besi dan memasuki bangunan itu menerusi lubang dan mencuri wayar tembaga bernilai S$500,000 antara 6 Apr dengan 24 Apr.

Salah seorang daripada lelaki itu, Islam, terkait juga dengan beberapa lagi kes curi wayar tembaga yang serupa. Dia sebelum ini didakwa pada 25 Apr kerana mencuri kabel tembaga sepanjang 210 meter bernilai S$11,000 bersama rakan sekomplot Miah Shobus dari bangunan kosong Maktab Rendah Tampines pada pukul 3.36 pagi, 23 Apr lalu.

Miah, seorang warga Bangladesh berusia 30 tahun, didakwa pada 25 Apr dengan tuduhan mencuri wayar elektrik dari bangunan lama Maktab Rendah Jurong pada pukul 11.30 malam pada 21 Jan dengan seorang lagi rakan sekomplot, warga Bangladesh Jan Shak Mohabbat.

Jan dikenakan lagi tujuh tuduhan baru minggu lalu, kerana memecah masuk bangunan-bangunan sekolah yang kosong untuk mencuri wayar-wayar tembaga bernilai sekitar S$14,000 bersama Miah dan seorang rakyat Singapura Om Shakti Tiwari.

Menurut kertas tuduhan, Jan, Miah dan Om memecah masuk ke premis bekas bangunan Maktab Rendah Jurong pada malam 24 Jan untuk mencuri wayar tembaga bernilai S$2,634 yang dimiliki Kementerian Pendidikan (MOE).

Mereka juga dituduh mencuri wayar tembaga bernilai S$4,260 dari Sekolah Menengah Hong Kah pada malam 29 Feb.

Ketiga-tiga lelaki itu dikatakan memecah masuk ke bangunan kosong yang sebelum ini menempatkan Maktab Rendah Tampines pada Mac lalu bagi tujuan yang sama.

Mereka didakwa mencuri wayar bernilai S$3,976 pada malam 7 Apr, sebelum kembali pada malam 16 Apr untuk mencuri wayar tembaga bernilai S$3,478.50.

Jan dan Om juga dikaitkan dengan Islam, kerana mereka juga dituduh memasuki Maktab Rendah Tampines menerusi pembukaan di pagar untuk mencuri wayar-wayar tembaga pada Mac.

ISLAM DITEMUI DENGAN HARTA PENCURIAN DI KEDAI BESI BURUK

Islam dikenakan lagi empat tuduhan baru. Dia dituduh memiliki harta yang disyaki dicuri di kedai besi buruk PM Recycle di Pioneer Centre pada 27 Jan.

Dia didakwa memiliki 267 unit wayar tembaga, lapan unit loyang tembaga, 50 unit paip tembaga dan 10 unit wayar bernilai S$729.40 keseluruhan.

Dia juga didakwa memiliki 106 unit paip yang dicuri dan 276 unit wayar tembaga terbuka di kedai besi buruk yang sama pada 1 Apr.

Kebanyakan individu terbabit ditahan reman dan akan dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan lanjut sama ada pada minggu depan atau bulan depan.

MOE memberitahu Mediacorp selepas kes yang pertama dibicarakan di mahkamah pada bulan lalu ia sedar akan beberapa kejadian yag berlaku di bekas tapak Maktab Rendah Tampines dan Maktab Rendah Jurong.

Menurutnya, kedua-dua kampus itu kini kosong dan tidak digunakan dan ia mendapatkan khidmat kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan khidmat keselamatan di bangunan-bangunan itu.

Hukuman bagi kesalahan pecah masuk untuk melakukan pencurian adalah penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Bagi setiap tuduhan memilik harta disyaki dicuri, Islam boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga S$3,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita