Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai siswazah masih menganggur 6 bulan selepas tamat pengajian; gaji median naik: Tinjauan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2023 12:32PM Dikemas Kini : 20 Feb 2023 08:41PM
SINGAPURA: Lebih ramai siswazah kekal tidak mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Satu tinjauan pada 2022 menunjukkan 93.8 peratus siswazah mendapat kerja dalam tempoh enam bulan selepas peperiksaan akhir tahun mereka.

Kadarnya dalam tahun 2021 ialah 94.4 peratus.

Sungguhpun begitu bilangan siswazah baru yang mendapat pekerjaan sepenuh masa, naik kepada 87.5 peratus, berbanding 84 peratus dalam tahun 2021.

Peratusan mereka yang bekerja secara bebas pula meningkat sedikit kepada 1.8 peratus daripada 1.7 peratus pada 2021 manakala siswazah dalam pekerjaan sambilan atau bekerja separuh masa merosot kepada 4.5 peratus berbanding 8.7 peratus pada 2021.

Tinjauan mengenai tenaga kerja siswazah dari universiti-universiti tempatan itu dilakukan Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), melibatkan 10,700 siswazah.

Ia juga mendapati gaji median bulanan para siswazah itu yang bekerja sepenuh masa adalah lebih tinggi tahun lalu terutama sekali dalam bidang berkaitan teknologi maklumat dan digital.

Gaji median mereka sebanyak S$4,200 sebulan berbanding S$3,800 dalam tahun 2021.

Peningkatan paling ketara dicatatkan dalam kelompok kursus teknologi maklumat dan digital, yang menyaksikan median gaji bulanan mereka yang bekerja sepenuh masa meningkat daripada S$5,000 pada 2021 kepada S$5,625 pada 2022.

Kelompok itu bersama-sama dengan kumpulan sains kesihatan dan kejuruteraan, mencatat peratusan tertinggi bagi pekerjaan tetap sepenuh masa.

Kumpulan siswazah dalam bidang lainnya juga menyaksikan kenaikan median gaji bulanan, walaupun gaji bagi siswazah kesenian, reka bentuk dan media kekal stabil.

Tinjauan serupa sedang dijalankan oleh Institut Teknologi Singapura serta Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura.
Sumber : Today/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan