Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai relawan akan dilatih bagi bantu lagi 500 keluarga Projek DIAN@M³

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pengalaman menjadi seorang guru prasekolah selama 14 tahun membuatkan Cik Nur Shairah amat prihatin akan pembangunan kanak-kanak dari peringkat awal.

Lantaran itu, beliau tidak melepaskan peluang untuk menyertai program Duta Dian apabila mendapat tahu mengenainya semasa mengikuti Program Sarjana dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak.

"Saya terdorong kerana saya boleh menolong ibu bapa untuk lebih memahami bagaimana anak-anak mereka membesar dan memberikan anak-anak mereka aktiviti-aktiviti yang bermakna dan boleh membantu mereka belajar sambil bermain di rumah," kata Cik Nur Shairah.

Dengan memanfaatkan pengalamannya dalam pendidikan awal kanak-kanak, beliau dapat mendampingi para ibu bapa serta anak-anak mereka secara berkesan.

--

Menurut Cik Shairah kepada BERITAmediacorp, peranannya sebagai Duta Dian adalah untuk memastikan para ibu bapa dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran mengajar anak-anak mereka.

Katanya, para ibu bapa boleh juga menggunakan barangan di rumah untuk mengajar anak-anak mereka.

Justeru itu, beliau berharap setiap keluarga yang beliau dampingi akan dapat mempelajari sesuatu sekali gus memanfaatkannya untuk kebaikan anak-anak mereka.

500 KELUARGA MELAYU/ISLAM DI FLAT SEWA DIDAMPINGI

Kini, lagi 500 keluarga Melayu/Islam di flat-flat sewa akan didampingi di bawah Projek DIAN@M³.

Ini menyusuli Projek Dian@M³ diperluaskan ke tiga lagi kawasan iaitu di Chua Chua Kang, Jurong dan Tampines.

Projek Dian@M³ dirintis pada 2021 di tiga kawasan - Geylang Serai, Bedok dan Jalan Besar.

Ia dikendalikan di bawah program M³ pemerintah iaitu rangkaian antara MENDAKI, MUIS dan Mesra.

Projek DIAN@M³ sudahpun mendekati lebih 70 peratus dari kesemua keluarga Melayu yang menetap di tiga blok sewa fasa perintis di M³@Bedok, M³@Geylang Serai dan M³@Jalan Besar.

PARA RELAWAN DILENGKAPI KEMAHIRAN, ILMU

Untuk menyokong perkembangan program-program M³ seperti Projek Dian, setiap sukarelawan dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran supaya dapat berkhidmat secara berkesan.

Sejauh ini, seramai 30 relawan telah dilatih di bawah Program Duta Dian.

Antara relawan yang dibimbing dengan pemahaman asas tentang kepentingan pembangunan awal, cara-cara mendampingi keluarga-keluarga yang mempunyai anak kecil di flat sewa ialah Cik Sharifah Muslimah Lilah Ahmad Nassir.

Sebagai relawan M³@Bedok, beliau seringkali menyertai lawatan rumah ke rumah.

--

Katanya, menerusi lawatan-lawatan ke rumah itu, beliau mendapati ramai yang kurang sedar mengenai pelbagai bantuan yang disediakan agensi-agensi.

Malah menurutnya, sesetengah daripada kanak-kanak yang tinggal di rumah-rumah sewa tidak ke prasekolah.

Bagi melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mendekati kanak-kanak dengan berkesan, beliau turut mengikuti latihan di bawah program KidSTART.

Dari situ, Cik Sharifah berkata beliau mempelajari cara berinteraksi dengan kanak-kanak berusia antara 3 hingga 6 tahun dan mendedahkan mereka kepada pendidikan prasekolah.

"Pendidikan prasekolah untuk kanak-kanak ini amat penting untuk kerana pendidikan prasekolah akan mendedahkan mereka kepada pendidikan awal dan dengan pendedahan ini, mereka akan lebih yakin apabila mereka ke sekolah rendah. Saya berpendapat bahawa sekiranya kanak-kanak ini ketinggalan dalam mata pelajaran, mereka tiada minat untuk ke sekolah dan sekali gus tak ingin ke sekolah," kata Cik Sharifah kepada BERITAmediacorp.

Usaha ini dialu-alukan oleh ibu bapa seperti Cik Erra Fadilah Riffin.

Beliau dan enam orang anaknya merupakan penerima bantuan Projek Dian@M³ sejak 2021.

"Anak saya yang berusia 6 tahun kini lebih selesa berbual dengan orang. Sebelum ini dia pemalu. Jadi bila nak belajar atau bercakap dengan orang, dia akan rasa segan. Bila adakan projek Dian, para relawan selalu datang buat aktiviti dengannya. Kini dia rasa lebih yakin untuk berbual dan pembelajarannya juga ada peningkatan," kongsi Cik Erra.

Melihat perubahan positif itu, dia juga berharap lebih banyak anak-anak di luar sana dapat meraih manfaat daripada program tersebut.

Sehingga kini M³ @ Bandar, mempunyai 800 sukarelawan secara keseluruhan.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan