Lebih ramai rakyat SG ikuti kursus SkillsFuture dengan objektif pekerjaan
Sekitar 260,000 rakyat Singapura menggunakan kredit SkillsFuture mereka pada 2024, iaitu kenaikan 35 peratus berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut SkillsFuture Singapore (SSG) pada Rabu (9 Apr).
Orang ramai di Raffles Place pada waktu tengah hari, pada 13 Ogos 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Daripada jumlah itu, 28,000 rakyat Singapura telah menggunakan kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya) mereka selepas skim itu dilancarkan pada 2024.
Rakyat Singapura berusia 40 tahun dan atas menerima tokokan kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya) sebanyak S$4,000 pada Mei 2024.
Warga Singapura lebih muda akan menerima tokokan jumlah yang sama apabila mereka mencapai usia 40 tahun, dan kredit itu boleh digunakan untuk mengikuti lebih 7,000 kursus.
Lebih ramai rakyat Singapura juga mengikuti kursus yang direka dengan mengambil kira objektif pekerjaan, menurut SSG dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Sebagai contoh, kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya) boleh digunakan bagi kursus-kursus termasuk kelayakan penuh dari institusi pengajian tinggi, Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture atau kursus-kursus yang direka untuk memenuhi keperluan perkembangan di bawah Model Gaji Progresif.
Sekitar 112,000 rakyat Singapura mengikuti kursus sedemikian pada 2024, iaitu 20 peratus lebih banyak berbanding 2023, menurut SSG.
Dalam kalangan mereka yang mengikuti 239 Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture yang ditawarkan pada 2024, 54 peratus mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mengikuti kursus tersebut, menurut SSG.
Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura menggunakan kredit pertengahan kerjaya mereka, SSG mahu menjadikannya "lebih mudah" untuk penduduk Singapura mencari kursus-kursus yang diingini dan menyampaikan maklumat relevan bagi membantu mereka dalam membuat keputusan, kata ketua eksekutif SSG Tan Kok Yam.
SSG juga akan membina keyakinan dalam sektor latihan dengan mempertingkatkan mutu kursus dan penyedia latihan yang ada, katanya.
"Pembaikan mutu sentiasa diusahakan dan ini sebab mengapa kami sentiasa menekankan peri penting peningkatan mutu dari masa ke masa, membolehkan penyedia latihan ... kursus-kursus untuk berinovasi," kata Encik Tan.
Pada masa yang sama, SSG juga sedang "menarik balik" kursus-kursus yang "berprestasi lemah" atau sudah tidak lagi relevan, dan para penyedia latihan yang "kurang relevan selepas sekian waktu", katanya.
Para penyedia latihan perlu menyemak dan meningkatkan mutu latihan secara konsisten, menurut SSG dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Mereka juga perlu menjalani dan lulus penilaian supaya dapat terus mendapat pembiayaan dari pemerintah.
Sekitar 15 peratus penyedia latihan yang menjalani pemeriksaan audit pada 2024 digantung khidmat mereka atau memilih untuk berundur atas sebab berkaitan dengan mutu kursus mereka, menurut SSG.
"Kriteria lebih ketat berhubung pembaharuan kursus juga diperkenalkan, di mana kursus-kursus perlu memenuhi standard prestasi dan kerelevanan industri untuk terus mendapat pembiayaan," menurut kenyataan media itu.
"Kursus-kursus yang berprestasi lemah tidak akan diperbaharui pembiayaan mereka atau mungkin dikeluarkan dari senarai kursus sebelum tamat tempoh kesahihan mereka dan mereka perlu melakukan penambahbaikan sebelum dibenarkan membuat permohonan semula."
LEBIH RAMAI MAJIKAN HANTAR PEKERJA JALANI LATIHAN
Sejak skim SkillsFuture diperkenalkan pada 2016, lebih 1.05 juta rakyat Singapura telah menggunakan kredit mereka, menurut SSG.
Dalam kalangan rakyat Singapura berusia antara 30 dengan 59 tahun, 44 peratus telah menggunakan kredit mereka, dan 14 peratus telah mengikuti program-program sokongan SSG yang dibiayai oleh majikan mereka.
Daripada 24,000 syarikat yang mengikuti program disokong SSG pada 2024, 95 peratus daripadanya adalah perusahaan bersaiz kecil hingga sederhana, menuru SSG.
Ia merupakan "satu perkembangan satu positif" apabila lebih ramai majikan menghantar pekerja mereka untuk mengikuti program latihan sedemikian.
Ini kerana ia menunjukkan bahawa syarikat-syarikat sedang melabur dalam pekerja mereka dan meneroka kursus-kursus yang relevan dengan keperluan para pekerja, kata Encik Tan.
Ramai peserta program disokong SSG pula mengikuti kursus berkaitan IT dalam bidang seperti kecerdasan buatan, keselamatan siber dan pemasaran digital, menurut SSG.
"Ini mencerminkan pendigitalan pesat merentas spektrum sektor yang luas dalam ekonomi kita, serta rentak perubahan dalam domain IT,"menurut SSG dalam kenyataan medianya.
SSG telah memasukkan platform pembelajaran online Udemy Business dan Coursera dalam senarai kursus yang ditawarkan pada 2024.
Jumlah tuntutan bagi langganan dan kursus pembelajaran online meningkat 10 kali ganda dari 266 pada 2023 kepada 2,655 pada 2024, menurut SSG.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.