Skip to main content

Singapura

Lebih ramai pilih laluan jadi guru prasekolah Bahasa Melayu menerusi program baharu diploma TP

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Feb 2026 05:41PM Dikemas Kini : 05 Mar 2026 01:24PM
SINGAPURA: Jumlah kemasukan penuntut bagi Pengajaran Bahasa Ibunda - Trek Bahasa Melayu dalam Diploma Pembangunan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECDE), yang ditawarkan di Politeknik Temasek (TP), meningkat seganda sejak ia dilancarkan tahun lalu.

Seramai 52 penuntut mengikuti trek tersebut tahun ini, berbanding 26 penuntut bagi kohort sulungnya. Jumlah itu merupakan sebahagian daripada kira-kira 250 penuntut yang mengikuti Diploma ECDE di TP setiap tahun.

Menurut Pakar Kurikulum Kanan, Ibu Pejabat Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak (NIEC), Dr Raudhah Yahya, peningkatan dalam kemasukan penuntut tersebut didorong oleh keperluan sektor serta minat yang semakin meningkat dalam kalangan penuntut.
Related article image
Pakar Kurikulum Kanan, Ibu Pejabat Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak (NIEC), Dr Raudhah Yahya. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp) 
“Kami ingin meningkatkan lagi bilangan guru bahasa Melayu yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengajar bahasa Melayu dan (terdapat) peningkatan minat bilangan permohonan daripada pelajar-pelajar untuk mengambil trek ini,” jelasnya kepada wartawan Syazwani Sanep.

Trek tersebut diperkenalkan bagi memantapkan laluan pembangunan kecekapan mengajar Bahasa Melayu di peringkat prasekolah, sejajar dengan dasar dwibahasa negara ini.

BOLEH AJAR BAHASA MELAYU MAHUPUN INGGERIS SEBAIK TAMAT PENGAJIAN, BERBANDING ALIRAN SEDIA ADA

Lulusan Diploma ECDE yang mengikuti trek itu di TP, layak mengajar Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris di prasekolah sebaik sahaja tamat pengajian.

Sebelum ini, pendidik yang berminat mengajar Bahasa Melayu di prasekolah perlu mengikuti Sijil Pengajaran Bahasa Ibunda Peringkat Prasekolah - Bahasa Melayu (CPMTL-M) selama enam bulan di NIEC.

Dilancarkan pada 2019, program itu bertujuan mengasah kemahiran pedagogi guru prasekolah dalam pengajaran bahasa ibunda.

Namun, dengan adanya Pengajaran Bahasa Ibunda - Trek Bahasa Melayu itu, penuntut boleh memperoleh kelayakan tersebut seiring pengajian diploma di TP selama tiga tahun, tanpa perlu mendapatkan mana-mana kelayakan tambahan selepas tamat pengajian.

Kesemua peserta trek itu merupakan penuntut sepenuh masa TP yang melanjutkan pengajian selepas peperiksaan GCE Peringkat 'O' atau NITEC Lanjutan di ITE.
Related article image
Muhd Fariq Haqeel Mohd Irwan bakal mula mengikuti trek tersebut pada April ini, apabila beliau memulakan pengajian tahun akhirnya di TP. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp) 
Penuntut hanya boleh memohon untuk menyertai trek tersebut pada tahun ketiga pengajian, dengan kriteria pemilihan termasuk prestasi subjek Bahasa Melayu di peringkat GCE 'O'.

Trek tersebut merangkumi modul dengan tumpuan pada Tatabahasa Melayu untuk Komunikasi Berkesan, Bahasa dan Literasi Melayu, serta pengajaran Bahasa Melayu melalui seni.

“Melalui pembelajaran dan latihan yang berstruktur ini, guru bukan sahaja lebih yakin menggunakan bahasa Melayu, malah lebih bersedia untuk memupuk jati diri, adab dan nilai murni dalam diri kanak-kanak dan menanam penghargaan terhadap sejarah budaya dan warisan Melayu sejak usia awal lagi,” jelas Dr Raudhah.

​​Akur dengan minat yang kian bertambah dalam kalangan penuntut dalam mempertimbangkan trek itu, Dr Raudhah berkata pihaknya akan terus menilai kandungan trek tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas pelajar bagi memastikan ia kekal relevan dengan minat serta keperluan pengajaran di prasekolah.

FARIQ HAQEEL MAMPU REALISASI IMPIAN AJAR BAHASA MELAYU KEPADA KANAK-KANAK PRASEKOLAH; ADUNKAN TARIAN UNTUK PUPUK MINAT

Antara penuntut mengikuti trek itu bagi kohort tahun ini ialah Muhd Fariq Haqeel Mohd Irwan.
Related article image
Muhd Fariq Haqeel Mohd Irwan lama bercita-cita untuk mengajar Bahasa Melayu kepada kanak-kanak prasekolah sejak zaman sekolah menengah. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp) 
Ia ibarat impian menjadi kenyataan bagi pelajar berusia 19 tahun ini, yang telah lama bercita-cita untuk mengajar Bahasa Melayu kepada kanak-kanak prasekolah sejak zaman sekolah menengah.

Fariq bakal mula mengikuti trek tersebut pada April ini, apabila beliau memulakan pengajian tahun akhirnya di TP.

Ditanya aspek mana program ini yang paling teruja untuk diterokainya, Fariq berkata:

"Saya pernah terdengar daripada rakan saya bahawa mereka mengajar kita misalnya, kemahiran untuk mengajar kanak-kanak melakonkan sebuah cerita dongeng untuk kongsikan kepada kanak-kanak. Saya rasa itu amat menarik."

Sebagai anak keempat daripada sepuluh beradik, Fariq memang sudah biasa berinteraksi dan membimbing kanak-kanak.

Malah, minatnya terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak turut dipengaruhi oleh kakaknya yang kini, merupakan seorang guru prasekolah.

"Saya suka mengajar dan saya juga suka tarian. Saya akan menjadi seorang guru prasekolah yang sangat suka berkarya dan melakukan aktiviti seni bersama kanak-kanak. Contohnya, mengajar kanak-kanak cara menari tarian Melayu," luahnya, penuh harapan.

Bak pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Fariq berharap untuk menjadi seorang guru prasekolah, yang dapat mengadunkan pengalamannya dengan tarian Melayu dalam usahanya untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap pembelajaran bahasa Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita