Skip to main content

Singapura

Lebih ramai pesakit di Singapura bakal terima rawatan bertaraf hospital di rumah, rumah jagaan

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai pesakit di Singapura bakal terima rawatan bertaraf hospital di rumah, rumah jagaan

Jiang Tong Kai dibantu isterinya, Bey Chin Kiat, ketika menjalani rawatan di rumah menerusi program Mobile Inpatient Care @ Home (MIC@Home). (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 10:42PM Dikemas Kini : 22 Jul 2026 11:53PM
  • Kementerian Kesihatan Singapura memperkenalkan dua inisiatif baharu, MIC@Home dan THRIVE, untuk memperluas rawatan hospital ke rumah dan rumah jagaan.
  • MIC@Home membolehkan pesakit menerima rawatan di rumah dengan lawatan pasukan perubatan dan sokongan pekerja sosial, melibatkan hospital awam kecuali IMH.
  • NHG Health bekerjasama dengan THKMC sejak Julai 2024 untuk menyediakan penjagaan harian di rumah, termasuk pemantauan kesihatan dan bantuan pengambilan ubat.
  • Program THRIVE di rumah jagaan Ren Ci @ Woodlands berjaya mengurangkan kemasukan ke hospital dan dijangka diperluas ke lebih banyak rumah jagaan pada masa hadapan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lebih ramai pesakit di Singapura bakal menerima rawatan bertaraf hospital di rumah atau di rumah jagaan menerusi dua inisiatif baharu yang diperkenalkan pemerintah.

Salah satunya ialah program Mobile Inpatient Care @ Home (MIC@Home) yang membolehkan pesakit yang sesuai menerima rawatan di rumah tanpa perlu berada di wad hospital.

Program yang diperluaskan Kementerian Kesihatan (MOH) pada 2024 itu kini ditawarkan di semua hospital awam yang distruktur semula, kecuali Institut Kesihatan Mental (IMH).

Antara pesakit yang mendapat manfaat ialah Jiang Tong Kai, 82 tahun, yang kini menerima rawatan di rumah selepas dimasukkan ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) akibat bengkak pada kaki, sembelit dan kencing manis yang tidak terkawal.

Isterinya, Bey Chin Kiat, berkata beliau kini tidak lagi perlu berulang-alik ke hospital setiap hari kerana pasukan perubatan akan membuat lawatan ke rumah, selain mendapat sokongan daripada pekerja khidmat sosial.

Setakat ini, sekitar 152 pesakit di KTPH, Hospital Tan Tock Seng dan Hospital Woodlands telah menerima manfaat daripada program tersebut. Kira-kira 150 lagi pesakit dijangka menyertainya menjelang hujung tahun ini.

Bagi membantu pesakit yang memerlukan penjagaan harian, penyedia penjagaan kesihatan awam NHG Health bekerjasama dengan Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC) sejak Julai 2024.

Pasukan penjagaan THKMC akan melawat pesakit setiap hari selama lima hari selepas mereka pulang ke rumah bagi memantau keadaan kesihatan, membantu pengambilan ubat serta penjagaan luka.

Doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu pula akan terus memantau keadaan pesakit menerusi lawatan ke rumah dan telekonsultasi.

RAWATAN PAKAR DIPERLUAS KE RUMAH JAGAAN

Dalam satu lagi inisiatif, Hospital Woodlands membawa rawatan geriatrik pakar terus ke rumah jagaan bagi mengurangkan kemasukan warga emas ke hospital.

Menerusi program perintis THRIVE (Transforming Health and Resilience In Vulnerable Elders) di rumah jagaan Ren Ci @ Woodlands, pakar geriatrik, jururawat amalan lanjutan dan jururawat masyarakat bekerjasama dengan kakitangan rumah jagaan untuk menyemak keadaan penghuni serta menyesuaikan pelan rawatan mereka.

Program selama setahun yang melibatkan 300 penghuni itu berjaya mengurangkan kira-kira sepertiga kemasukan ke hospital dan lawatan ke jabatan kecemasan.

Lebih 60 peratus penghuni juga tidak perlu dimasukkan ke hospital sepanjang tempoh program tersebut.

Hospital Woodlands berharap program THRIVE dapat diperluaskan ke lebih banyak rumah jagaan pada masa hadapan sebagai sebahagian usaha memperkukuh penjagaan masyarakat di luar hospital.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita