Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai penumpang hisap dan tinggalkan vape dalam kenderaan, kata pemandu kereta sewa privet

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sejak permulaan tahun ini, pemandu sewa privet, Michael mempunyai kira-kira 20 penumpang yang telah menghisap vape sedang mereka berada dalam atau memasuki keretanya.

"Bilangan (penumpang yang menghisap vape) menggerunkan," kata pemandu tersebut yang berusia 48 tahun, yang hanya mahu dikenali dengan nama Michael sahaja.

"Ada yang akan mengambil sedutan terakhir sebelum menaiki kereta, ada pula yang akan menghisap vape secara senyap-senyap di belakang tempat duduk saya, hanya segelintir akan bertanya secara terbuka sama ada mereka boleh menghisap vape di dalam kereta."

Encik Cheng, yang juga merupakan seorang pemandu kereta sewa privet, pernah memberitahu seorang penumpangnya yang sedang menghisap vape dalam keretanya, untuk berhenti.

"Saya hanya memberitahunya bahawa sebenarnya dia tidak boleh vape di dalam kereta, dan dia memohon maaf (lalu berhenti). Tiada apa lagi yang boleh saya lakukan," kata lelaki berusia 52 tahun itu.

Dua pemandu lain - Encik Richard Low dan seorang lagi yang ingin hanya dikenali sebagai Encik Tay - menemui vape yang ditinggalkan oleh penumpang-penumpang ketika membersihkan kereta masing-masing.

Encik Tay akan segera membuang vape yang ditemui manakala, Encik Low pula menyimpan vape yang ditemuinya sekiranya penumpang terbabit cuba menuntutnya semula.

Memandangkan vape adalah haram di Singapura, mereka yang ditangkap menggunakan atau memiliki vape boleh didenda sehingga S$2,000 (AS$1,490).

"Saya tidak pernah terfikir bahawa jika saya (menyimpannya), ia boleh dianggap haram," jelas Encik Low.

Semua empat pemandu kereta sewa privet yang ditemui Mediacorp berkata bahawa mereka mendapati lebih ramai penumpang yang menghisap vape dalam kereta mereka sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Trend ini muncul sedang jumlah penduduk di Singapura yang ditangkap memiliki atau menggunakan vape semakin melonjak. Sebanyak 8,000 kesalahan dicatat tahun lalu, iaitu kenaikan 43 peratus daripada 5,600 pada 2022.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka sedang menyemak semula hukuman terhadap perbuatan menghisap vape. Mereka yang mengimport, mengedar atau menjual vape berdepan hukuman berat, termasuk kemungkinan hukuman penjara dan denda lebih S$2,000 yang dihadapi pengguna.

"SAYA TIDAK AKAN TEGUR MEREKA"

Kebimbangan utama para pemandu kereta sewa privet adalah melanggar undang-undang sekiranya mereka tidak memberhentikan penumpang mereka daripada menghisap vape atau jika mereka ditemui dengan vape yang ditinggalkan penumpang dalam kereta mereka.

Sesetengah pemandu, seperti Encik Michael, enggan menegur penumpang yang menghisap vape. "Saya tidak akan menegur mereka secara langsung kerana mereka mungkin akan menilai kami dengan 'satu bintang', yang memberi kesan terhadap insentif kami," luahnya.

Platform khidmat kereta sewa privet biasanya menawarkan insentif kewangan kepada para pemandu yang memenuhi jumlah sasaran perjalanan. Pemandu yang mendapat rating yang rendah daripada pelanggan mungkin tidak layak untuk insentif ini.

Encik Cheng berkata platform kereta sewa privet harus memberikan penjelasan tentang bagaimana para pemandu harus mengendalikan penumpang yang menghisap vape.

Firma-firma khidmat kereta sewa privet memberitahu Mediacorp bahawa daripada membuang vape yang ditinggalkan penumpang, para pemandu sepatutnya melaporkan mereka kepada pihak berkuasa.

LAPOR KEPADA POLIS?

Adakah pemandu kereta sewa privet wajib melaporkan penumpang yang menghisap vape kepada pihak polis? Jawapan ringkasnya ialah tidak, kata Encik Alexander Woon, yang merupakan pengerusi provos di Sekolah Undang-Undang Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Encik Woon menarik perhatian bahawa terdapat tiada kewajipan umum untuk melaporkan kesalahan di Singapura, melainkan jika mereka berada di bawah peruntukan tertentu bagi jenayah yang lebih mengerikan, seperti kesalahan ganas atau seksual.

"Pemandu boleh memilih untuk melaporkan kesalahan kepada polis jika mereka mahu, tetapi sebenarnya tidak wajib untuk berbuat demikian," jelas Encik Woon, yang juga seorang peguam di RHTLaw Asia.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan