Skip to main content

Singapura

Lebih ramai penduduk muda SG kekal bujang; saiz keluarga semakin kecil

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai penduduk muda SG kekal bujang; saiz keluarga semakin kecil

Sepasang suami isteri duduk bersama di Singapura pada 13 Ogos 2021. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 30 Jun 2026 04:27PM Dikemas Kini : 30 Jun 2026 04:30PM
SINGAPURA: Lebih ramai penduduk Singapura berusia bawah 40 tahun tidak pernah berkahwin pada 2025 berbanding lima tahun sebelumnya, menurut Tinjauan Keluarga Umum (GHS) terkini yang dikeluarkan pada Selasa (30 Jun).

Tinjauan itu juga mendapati bahawa jumlah anak dalam kalangan wanita berkurangan secara purata, Bahasa Inggeris menjadi bahasa yang semakin kerap dituturkan di rumah, lebih ramai penduduk melaporkan tidak beragama, dan bilangan penduduk Singapura mencecah 4.20 juta.

Jumlah Orang Bujang Terus Meningkat

Dalam kalangan wanita berusia 25 hingga 29 tahun, kadar yang tidak pernah berkahwin meningkat daripada 69 peratus pada 2020 kepada 73.4 peratus pada 2025, kenaikan terbesar dalam kalangan wanita.

Dalam kalangan lelaki, peningkatan terbesar adalah dalam kalangan mereka yang berumur 30 hingga 34 tahun, di mana kadar yang tidak pernah berkahwin meningkat daripada 41.9 peratus kepada 47.6 peratus.

Walaupun demikian, pasangan suami isteri yang mempunyai anak kekal sebagai jenis isi rumah yang paling lazim, menyumbang kepada 47.6 peratus isi rumah penduduk, turun daripada 50.4 peratus pada 2020.

Wanita Mempunyai Kurang Anak

Purata jumlah anak dalam kalangan wanita yang pernah berkahwin berumur 40 hingga 49 tahun turun daripada 1.76 pada 2020 kepada 1.67 pada 2025.

Kadar wanita yang mempunyai dua atau lebih anak juga menurun daripada 62.5 peratus kepada 58.4 peratus.

Tinjauan mendapati bahawa wanita yang mempunyai kelayakan pendidikan tinggi secara amnya mempunyai bilangan anak yang semakin berkurangan berbanding mereka dengan kelayakan yang lebih rendah.

Bahasa Inggeris Menjadi Lebih Dominan Di Rumah

Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling kerap dituturkan di rumah oleh 58.1 peratus penduduk berumursia lima tahun ke atas, meningkat daripada 48.3 peratus pada 2020.

Kebanyakan mereka yang bertutur terutamanya dalam bahasa Inggeris juga menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa kedua mereka.

Penggunaan dialek Cina di rumah menurun mendadak daripada 8.7 peratus kepada 4.9 peratus, manakala bahasa Mandarin juga menurun daripada 29.9 peratus kepada 26.6 peratus.

Lebih Ramai Penduduk Melaporkan Tidak Beragama

Kadar penduduk berusia 15 tahun ke atas yang tidak mempunyai agama meningkat daripada 20 peratus pada 2020 kepada 23.9 peratus pada 2025.

Peningkatan ini yang terbesar dalam kalangan penduduk Cina, meningkat daripada 25.7 peratus kepada 30.3 peratus.

Penduduk yang lebih muda juga lebih cenderung berbanding penduduk yang lebih tua untuk melaporkan tiada agama.

Pendidikan, Pendapatan Dan Pemilikan Rumah Meningkat

Tinjauan ini juga mancatat peningkatan berterusan dalam pendidikan, pendapatan dan pemilikan rumah.

Peratusan penduduk berumur 25 tahun ke atas dengan kelayakan lepasan menengah atau lebih tinggi meningkat daripada 58.3 peratus kepada 64.8 peratus.

Pendapatan isi rumah bulanan median meningkat daripada S$9,099 kepada S$12,446 selepas diselaraskan dengan inflasi, manakala pemilikan rumah meningkat daripada 87.9 peratus kepada 91.2 peratus.

Pengangkutan awam kekal sebagai mod perjalanan yang paling lazim ke tempat kerja, dengan 60.1 peratus penduduk yang bekerja berulang-alik dengan bas, MRT atau LRT.

Tinjauan ini menerima maklum balas daripada 27,324 isi rumah, dengan kadar maklum balas keseluruhan sebanyak 86.8 peratus.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita