Lebih ramai pelajar Melayu daripada keluarga berpendapatan rendah bakal raih manfaat TTFS yang disemak semula
Pemerintah akan menyemak kriteria kelayakan pendapatan bagi Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) bagi memanfaatkan lebih ramai pelajar Melayu daripada keluarga berpendapatan rendah.
SINGAPURA: Pemerintah akan menyemak kriteria kelayakan pendapatan bagi Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) bagi memanfaatkan lebih ramai pelajar Melayu daripada keluarga berpendapatan rendah.
Skim TTFS yang diperkenalkan pada 1991, merangkumi yuran tuisyen institusi-institusi pengajian tinggi dan buat masa ini memanfaatkan 11,000 pelajar.
Para pelajar daripada keluarga dengan pendapatan per kapita (PCI) sebanyak S$1,400 dan lebih rendah daripada jumlah itu akan menerima 100 peratus subsidi, sementara mereka dengan PCI antara S$1,400 dengan S$1,700 dan antara S$1,700 dengan S$2,000 akan masing-masing menerima 70 peratus dan 50 peratus subsidi.
Kumpulan pendapatan adalah S$1,000 dan ke bawah, S$1,100 hingga S$1,200 dan S$1,201 hingga S$1,500 bagi subsidi-subsidi yang ditawarkan sebelum ini.
Mengumumkan semakannya di Parlimen hari ini (8 Mac), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim berkata: “Kami akur bahawa pendapatan per kapita keluarga sudah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”
Semakan itu akan berkuat kuasa mulai tahun akademik 2018/2019, kata Dr Yaacob, sambil menambah bahawa MENDAKI akan memberikan lebih banyak perincian kelak.
Menyifatkan TTFS sebagai “dasar penting pemerintah” yang menyokong pendidikan pelajar Melayu daripada keluarga berpendapatan rendah, Dr Yaacob menambah: “Kami komited untuk membantu semua yang memerlukan bantuan.”
Dr Yaacob yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan berkata, Program ‘Back-to-Work Women’ akan terus membantu lebih ramai keluarga berpendapatan rendah mendaftarkan anak mereka di tadika sepanjang hari.
Ini akan menawarkan sekitaran yang sesuai untuk pembangunan kanak-kanak, kata Dr Yaacob, sambil menarik perhatian bahawa ini akan membantu golongan ibu untuk bekerja sepenuh masa.
Selain menambah pendapatan keluarga, mereka juga boleh memanfaatkan lebih banyak subsidi jagaan kanak-kanak dan pendidikan prasekolah bermutu yang akan menjadi lebih dimampui.
Mendaki juga akan bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk mengkaji bagaimana keluarga berpendapatan rendah boleh mendaftarkan anak mereka bagi mendapatkan pendidikan prasekolah dan jagaan kanak-kanak yang bermutu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.