Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai pelajar diberi peluang ambil subjek Bahasa Ibunda Lanjutan bermula 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai pelajar diberi peluang ambil subjek Bahasa Ibunda Lanjutan bermula 2026

Lebih ramai pelajar diberi peluang ambil subjek Bahasa Ibunda Lanjutan bermula 2026. (Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

SINGAPURA: Para pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Ibunda dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), akan diberi peluang untuk ambil subjek Bahasa Ibunda Lanjutan di Sekolah Menengah bermula 2026.

Buat masa ini, ada beberapa syarat kelayakan untuk pelajar ikuti mata pelajaran tersebut.

Misalnya, hanya pelajar yang dapat raih 8 mata atau lebih baik secara keseluruhan dalam PSLE yang layak.

Bermula 2026, pelajar yang raih AL1 atau AL2 bagi Bahasa Ibunda dalam PSLE boleh ikuti Bahasa Ibunda Lanjutan tidak kira markah keseluruhan PSLE mereka.



Perincian itu dikongsikan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing semasa Simposium Bahasa Ibunda pada Sabtu (14 Sep), menyusuli pengumuman dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2024 bahawa lebih ramai pelajar akan diberikan peluang untuk mengambil Bahasa Ibunda Lanjutan bermula 2026.

"Kami semua ada kelebihan dan bakat yang berbeza. Ada pelajar yang mahir dalam bahasa tetapi tidak bagi subjek lain. Kami akan menyokong lebih ramai pelajar ini untuk mengambil bahasa ibunda lanjutan agar mereka boleh mempelajari bahasa ibunda mereka pada tahap yang setinggi mungkin sebagaimana mereka pilih," kata Encik Chan dalam ucapannya.

"Ada sesetengah pelajar hari ini yang tidak menepati kriteria kelayakan PSLE tetapi diberi peluang oleh sekolah menengah untuk belajar Bahasa Ibunda Lanjutan. Para pelajar ini sudah mendalami minat dalam Bahasa Ibunda Lanjutan dan dapat menangani dengan baik bersama Bahasa Ibunda Lanjutan peringkat 'O' mereka tanpa menjejas prestasi akademik keseluruhan mereka. Pengalaman ini memberikan kami keyakinan untuk membolehkan lebih ramai pelajar melakukan demikian," tambahnya.

PELAJAR DIBERI LEBIH BANYAK PELUANG GUNA KEKUATAN MASING-MASING DALAM SUBJEK TERTENTU



Mengulas tentang manfaat peluang yang disediakan itu kepada lebih ramai pelajar, Timbalan Pengarah, Jabatan Bahasa Ibunda di Kementerian Pendidikan (MOE), Cik Salbiah Abas berkata: "Perubahan pada kriteria bagi bahasa Melayu Lanjutan ini sebenarnya selaras dengan pelaksanaan sepenuhnya Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) di mana ia telah pun dilaksanakan di semua sekolah menengah yang memberikan lebih banyak peluang kepada para pelajar untuk menggunakan kekuatan masing-masing dalam subjek-subjek tertentu untuk meneruskan pemilihan mereka bagi subjek-subjek tersebut."

Ini menurut Cik Salbiah, antara cara untuk mencapai matlamat yang mementingkan kedwibahasaan di negara ini.



"Mereka juga akan didedahkan dengan bahan-bahan sastera di peringkat awal lagi agar mereka dapat menghargai budaya dan juga bahan-bahan sastera yang ada yang dapat meningkatkan lagi minat mereka untuk terus membaca dan melestarikan bahasa dan budaya Melayu," kongsi Cik Salbiah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Langkah baharu itu juga selaras dengan langkah-langkah MOE yang lain untuk lebih mengiktiraf dan membina kekuatan yang pelbagai untuk pelajarnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan