Lebih ramai pekerja hijrahan dibenar kunjungi tempat awam; langkah COVID-19 di dormitori diperhalusi
Langkah pengurusan selamat COVID-19 di dormitori pekerja hijrahan akan diperkemas sejajar dengan sekatan masyarakat terbaru. Lebih ramai pekerja yang tinggal di dormitori juga akan dapat mengunjungi tempat-tempat masyarakat mulai Selasa (15 Mac).
SINGAPURA: Langkah pengurusan selamat COVID-19 di dormitori pekerja hijrahan akan diperkemas sejajar dengan sekatan masyarakat terbaru. Lebih ramai pekerja yang tinggal di dormitori juga akan dapat mengunjungi tempat-tempat masyarakat mulai Selasa (15 Mac).
Dari 15 Mac, pihak berkuasa akan "mewajarkan" langkah pengurusan selamat bagi pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong, yang mempengerusikan bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) COVID-19.
Penggunaan kemudahan sukan, saiz kumpulan dan acara di dormitori serta pusat rekreasi akan "diselaraskan dengan langkah pengurusan selamat masyarakat umum", kata Encik Gan di sidang media pada Jumaat.
Misalnya, pekerja hijrahan akan dapat menyambung semula semua kegiatan sukan dengan sehingga 30 peserta lengkap divaksin di dormitori serta pusat rekreasi, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.
Program lawatan masyarakat bagi pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori juga akan diperluaskan pada Selasa depan.
Sehingga 15,000 pekerja hijrahan sudah divaksin akan dibenarkan untuk mengunjungi tempat masyarakat pada hari-hari biasa manakala pada hujung minggu dan cuti umum pula, sehingga 30,000, untuk selama lapan jam bagi setiap lawatan.
Ini adalah satu tambahan berbanding kuota sedia ada sebanyak 3,000 pekerja hijrahan pada hari-hari biasa dan 6,000 pekerja hijrahan pada hujung minggu serta cuti umum.
“Untuk menguruskan kesesakan di tempat-tempat popular, pekerja hijrahan akan terus membuat permohonan untuk melawat tempat-tempat tertentu dalam masyarakat," menurut MOH.
Kementerian Tenaga Manussia (MOM) akan memantau jumlah permohonan dan terus menjalankan pemeriksaan berkala di "tempat-tempat berpotensi menyaksikan perhimpunan besar", tambah MOH.
Menurut MOH, jumlah kes COVID-19 di dormitori kekal "amat rendah" sepanjang beberapa minggu lalu.
“Perlindungan vaksinasi dan pengambilan dos penggalak dalam kalangan pekerja hijrahan juga amat memberangsangkan. Lantaran itu, pekerja hijrahan menjadi sangat berdaya tahan terhadap jangkitan COVID-19," tambah MOH.
"Maka itu, ada alasan yang baik untuk mengambil langkah penting bagi membolehkan lebih ramai daripada pekerja hijrahan kita untuk mengunjungi tempat masyarakat dengan selamat serta melindungi kesejahteraan mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.