Lebih ramai pasangan muda SG dapatkan khidmat kaunseling sebelum berkahwin
Apabila Cik Sonia Elizabeth Rajendra bertemu Encik Jeremy Ashwin Rabensky secara online pada 2023, pasangan itu dengan pantas mendapati mereka mempunyai banyak persamaan.
Sepasang suami isteri semasa majlis perkahwinan. (Gambar hiasan: Pexels)
- Pasangan muda seperti Cik Sonia Rajendra dan Encik Jeremy Rabensky di Singapura semakin memilih kaunseling sebelum perkahwinan untuk membincangkan masa depan bersama.
- Kaunselor melaporkan peningkatan sekitar 10-20 peratus pasangan mendapatkan khidmat ini, terutamanya berkaitan isu kewangan, kerjaya dan keserasian.
- Peningkatan kesedaran kesihatan mental dan penurunan stigma mendorong lebih ramai pasangan mendapatkan bantuan awal demi hubungan jangka panjang.
- Trend berkahwin lewat turut dipengaruhi oleh faktor ekonomi, perancangan kerjaya dan harapan terhadap pembahagian tanggungjawab dalam rumah tangga.
Mereka berdua dilahirkan 25 tahun yang lalu, mempunyai tarikh lahir yang hampir sama antara satu sama lain, dan berkongsi nilai-nilai yang serupa tentang keluarga dan kepercayaan.
Walaupun mereka ingin berkahwin, menjalani kaunseling tahun lalu sebelum perkahwinan mendorong mereka untuk merenungkan lebih mendalam tentang masa depan mereka bersama.
“Sangat mudah untuk berkahwin apabila anda sedang bercinta, kerana keseluruhan proses itu akan membawa ke jenjang pelamin. Semuanya berbentuk kegembiraan, kebahagiaan … tetapi anda tidak memikirkan tentang 70, 80 tahun yang anda lalui selepas itu dan betapa pentingnya perkara-perkara itu,” Cik Rajendra, seorang peguam, memberitahu Mediacorp.
“(Anda perlu) mengadakan perbincangan yang sukar, kerana mudah untuk tidak mengadakan perbualan sedemikian sebelum anda berkahwin dan hanya menganggap pasangan anda akan bersetuju dengan anda.”
Menurut para kaunselor, lebih ramai pasangan muda seperti mereka di Singapura mendapatkan khidmat kaunseling perkahwinan walaupun sebelum melangkah ke jenjang pelamin, dengan sesetengahnya menangguhkan rancangan perkahwinan mereka sehingga setahun.
Mereka berkata mereka telah menyaksikan peningkatan kira-kira 20 peratus dalam kalangan pasangan yang mendapatkan nasihat sepanjang tahun lalu, terutamanya mengenai isu-isu seperti pengurusan kewangan dan matlamat kerjaya.
LEBIH BANYAK KESEDARAN, STIGMA BERKURANGAN
Para pakar mengaitkan minat yang semakin meningkat dalam khidmat kaunseling sebelum perkahwinan dengan peningkatan kesedaran tentang kesihatan mental dan penurunan stigma tentang tindakan untuk mendapatkan bantuan.
Sikap terhadap hubungan juga telah berubah, tambah mereka, dengan generasi muda lebih menekankan keserasian jangka panjang.
“Generasi baharu, Gen Z dan milenial, lebih bijak dalam mendapatkan bantuan. Mereka tidak menunggu sehingga masalah itu berlaku,” kata Cik Rachel Cheng, seorang ahli psikoterapi dan kaunselor di platform kaunseling dan bimbingan online yang berpangkalan di Singapura, 'Talk Your Heart Out'.
Antara isu-isu yang boleh timbul ialah kewangan, tekanan kerja, keselamatan pekerjaan, pendidikan, mertua dan cara membesarkan anak-anak, kata Cik Cheng.
Tujuan kaunseling sebelum perkahwinan adalah untuk pasangan duduk bersama dan memahami apa yang benar-benar mempengaruhi hubungan mereka, tambahnya.
“Apakah matlamat pasangan mereka untuk bekerjasama? Sejauh manakah mereka sanggup berusaha untuk itu? Jadi ia bergantung kepada komitmen.”
Dr John Lim, ketua pegawai kesejahteraan di Singapore Counselling Centre, bersetuju bahawa pasangan kini lebih berhati-hati dalam menangani isu-isu yang menjadi keprihatinan, lebih awal.
Pusat ini telah menyaksikan peningkatan kira-kira 10 peratus berbanding setahun lalu dalam kalangan pasangan yang mendapatkan kaunseling dan bimbingan, terutamanya selepas pandemik COVID-19.
“Mereka sangat berminat untuk mengenal pasti jurang dalam bidang keserasian, untuk mengenal pasti bidang-bidang di mana pada suatu masa nanti, perbezaan itu boleh menyebabkan konflik yang serius,” katanya lagi.
“Mereka ingin membincangkannya, contohnya, cara menguruskan kewangan, siapa yang menyumbang lebih banyak, dan sebagainya, kerana perselisihan faham kewangan sebenarnya merupakan punca utama banyak konflik dan ketidakbahagiaan.”
Dr Lim, yang juga merupakan penganjur majlis perkahwinan, menyatakan bahawa statistik menunjukkan mereka yang menjalani kaunseling mempunyai risiko perceraian yang lebih rendah pada masa hadapan.
Sesi kaunseling sebegini boleh diadakan dari beberapa bulan hingga setahun, yang boleh menangguhkan rancangan perkahwinan.
“Saya percaya bahawa lebih ramai pasangan benar-benar sedar sekarang bahawa menjadi suami isteri berbeza daripada setakat menjadi pasangan,” tambahnya.
BERKAHWIN LEWAT
Ini berlaku berikutan trend yang lebih luas dalam kalangan orang ramai di Singapura yang berkahwin pada usia lebih tua.
Pada 2024, umur median perkahwinan pertama meningkat kepada 31.1 tahun untuk lelaki - meningkat daripada 30.2 sedekad yang lalu. Bagi wanita, ia meningkat kepada 29.6 daripada 28.2 dalam tempoh yang sama.
Walaupun pasangan akhirnya memutuskan untuk berkahwin, kebimbangan lain seperti kos sara hidup dan perkahwinan boleh memainkan peranan dalam menangguhkan perkahwinan, kata Profesor Madya Hu Shu, ketua program sosiologi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
“Bagi mereka yang berhasrat untuk berkahwin akhirnya, mereka mungkin sedang dalam proses memutuskan sama ada pasangan mereka sekarang adalah orang yang mereka ingin mendirikan rumahtangga. Jika ya, mereka mungkin berfikir - patutkah mereka menunggu sehingga mereka menjadi lebih stabil dalam perkembangan kerjaya mereka? Dan mungkin mereka sedang menabung untuk kos perkahwinan, untuk flat misalnya,” katanya.
“Ia sebenarnya tentang bagaimana mereka merancang dari segi perkembangan kerjaya individu mereka, dari segi proses pembentukan perkahwinan, dan kos kewangan (dan) jangkaan ekonomi,” kata Prof Madya Hu.
Beliau menambah bahawa kebimbangan terhadap keserasian - seperti perkongsian tugas dalam kerja rumah dan keibubapaan - juga membentuk keputusan untuk berkahwin.
“Terutamanya bagi wanita muda yang benar-benar menghargai egalitarianisme jantina dalam hubungan mereka ... mereka mungkin menjangkakan pelibatan yang lebih besar daripada pasangan mereka dari segi perkongsian kerja rumah,” katanya.
Faktor penting yang perlu dipertimbangkan ialah berapa ramai bapa akan terlibat dalam penjagaan anak jika mereka memutuskan untuk mempunyai anak, tambah Prof Madya Hu.
Bagi suami Cik Rajendra, Encik Rabensky, mendapatkan khidmat kaunseling membantu mengukuhkan hubungan mereka.
“(Ia bagus) berbincang tentang tempat tinggal kami; bagaimana rupa pekerjaan kami? Ke mana hala tuju kami pada masa hadapan, dan bagaimana kami menggunakan kasih sayang yang ada antara kami dan (menyalurkannya) ke dalam perkara-perkara praktikal tersebut?”.
“Ia merupakan proses yang agak indah … anda bercakap tentang isu-isu besar ini, dan ia agak relevan untuk sepanjang hayat.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.