Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai orang di SG pinjam wang di tengah kos sara hidup lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai orang di SG pinjam wang di tengah kos sara hidup lebih tinggi

Gambar hiasan seorang pengguna keluarkan wang dolar Singapura dari mesin ATM (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Di tengah-tengah kenaikan kadar inflasi dan kos sara hidup lebih tinggi, sesetengah syarikat kredit menerima seganda lebih banyak permohonan bagi pinjaman peribadi tahun ini berbanding tahun sebelumnya. 

Walaupun peminjam sebelum ini mengambil pinjaman daripada syarikat kredit bagi barangan mewah seperti set televisyen atau percutian, lebih ramai meminjam wang untuk membiayai keperluan harian mereka.  

Encik Derek Chong, pengarah pengurusan risiko kredit di Credit Culture, berkata: "Sejak kebelakangan ini, kami berdepan lebih ramai pelanggan yang secara tidak sengaja berbelanja lebih untuk kehidupan seharian, menyebabkan wang tidak mencukupi." 

Sekitar 40 peratus pelanggan kini menyatakan mereka memerlukan bantuan dari segi perbelanjaan harian, iaitu seganda lebih ramai daripada jumlah sebelum ini, tambah Encik Chong. 

"Salah satu sebab utama adalah pelonggaran sekatan COVID-19, yang mendorong ramai untuk berbelanja tanpa kawalan, selain penyambungan kebanyakan aktiviti biasa," kata Ketua Perniagaan Lendingpot, Encik Benjamin Lam. 

PERMINTAAN PEMILIK PERNIAGAAN KECIL

Pemilik perniagaan kecil turut menyumbang kepada permintaan bagi pinjaman peribadi, kata Encik Lam. 

Tambahnya, mereka memilih untuk membuat pinjaman wang sedemikian kerana kriteria bagi mereka sebahagian besarnya bergantung kepada pendapatan, manakala pinjaman perniagaan memerlukan rekod kewangan syarikat. 

"Salah satu perkara yang menarik daripada permohonan yang kami terima adalah pemohon mendaftar bagi pinjaman peribadi untuk menyokong aspirasi keusahawanan mereka," ujar Encik Lam. 

PERSATUAN KREDIT GESA ORANG RAMAI BERHEMAT

Persatuan Kredit Singapura menasihatkan orang ramai agar berhemat semasa mendapatkan pinjaman wang kerana ia adalah satu tanggungjawab, kata anggota jawatankuasa Persatuan Kredit Singapura, Cik Shaan Ngoh. 

"Kita semua perlu tahu bahawa pinjaman wang itu bukanlah sesuatu perkara yang tidak baik. Ia adalah kredit, ia adalah untuk membiayai barangan penting. 

"Namun, kita harus memahami bahawa kos sara hidup yang lebih tinggi bermakna wang berkurangan setelah membuat bayaran untuk perbelanjaan anda," ujarnya, sambil menambah bahawa ia penting untuk merancangkan kewangan dengan baik. 

"Utamakan bil apabila sudah kekurangan. Jangan ambil pinjaman besar tanpa mempertimbangkan perbelanjaan bulanan anda," tambah Cik Shaan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan