Lebih ramai orang dewasa dapatkan rawatan ADHD; kurangkan stigma terhadap pesakit
SINGAPURA: Sehingga ke hari ini, 'Maria' bukan nama sebenar, menyimpan dendam terhadap ibunya kerana tidak membenarkannya untuk meneruskan proses ujian lanjut bagi masalah Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif atau juga dikenali sebagai ADHD.
Ini meskipun beliau menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah ADHD sejak di sekolah rendah lagi.

Menurut Maria, orang tuanya tidak mahu dia disahkan mengalami sindrom tersebut.
"Saya rasa macam saya ada dendam untuk ibu saya kerana dia tak benarkan saya mendapat bantuan yang saya memang perlukan. Saya tidak boleh cakap dengan dia dengan sebenar kerana kalau saya bercakap dengannya tentang ADHD, dia macam tidak mahu dengar. Bagi saya untuk mendapatkan diagnosis ini adalah langkah pertama untuk menolong diri saya," ujar Maria.
Oleh kerana tidak mendapat rawatan pada peringkat awal, Maria mendedahkan dia turut menghadapi masalah keresahan kerana seringkali berasa tertekan apabila perlu menyelesaikan sebarang tugasan.
"Banyak kali saya pernah menyerahkan kerja amali saya lewat. Saya macam sedar saya tak boleh meneruskan kerjaya atau menyambung pelajaran sekiranya keadaan saya tidak dirawat secepat mungkin," dedah Maria kepada BERITAmediacorp.
Mujur kini beliau sudah mendapatkan rawatan setelah didiagnos oleh doktor pada usianya 20-an tahun.
DIAGNOSIS AWAL ADHD AMAT PENTING
Bagi membolehkan para pesakit seperti Maria menjalani kehidupan seperti biasa, pakar psikiatri, Dr Lim Boon Leng berpendapat diagnosis awal amat penting untuk memahami cara bagi mengawal gejala yang dialami.
Ini pula akan disusuli rawatan seperti ubat-ubatan, bantuan psikiatri dan terapi.

Meskipun tiada kajian dijalankan di Singapura, kajian antarabangsa menunjukkan ADHD menjejas kira-kira lima peratus kanak-kanak dan 2.5 peratus dalam kalangan orang dewasa.
Dr Lim berkata: "Kami sering lihat simptom terlampau aktif dalam kanak-kanak. Oleh itu mereka sering gelisah, berlari sana-sini, panjat memanjat, tidak boleh duduk diam dan suka pegang barang-barang. Bagi orang dewasa, kebanyakan ini dalam diri mereka. Oleh itu rasa gelisah dalam diri mereka tetapi mereka kelihatan tidak sedemikian.Bagaimanapun simptom tidak boleh fokus masih dialami."
Dengan kesedaran lebih tinggi kini, lebih ramai yang tampil untuk mendapatkan rawatan.
Di Pusat Perubatan Gleneagles misalnya, jumlah orang dewasa yang datang mendapatkan diagnosis meningkat sebanyak 50% sejak dua tahun lalu.
Walaupun akur bahawa masyarakat kini lebih peka mengenai penyakit ADHD, Dr Lim berkata banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan stigma terhadap penyakit tersebut.
Lantaran itu, sokongan dan motivasi daripada orang sekeliling amat penting bagi memberikan keyakinan mengharungi cabaran sebagai individu yang mengalami ADHD.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.