Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai masyarakat S'pura giat dalam kegiatan berbasikal, kini aktiviti ke-6 paling popular

Dengan suara-suara lebih lantang menggesa rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, semakin ramai memilih kegiatan berbasikal.

Anggaran Waktu Membaca:
03:18 Min
Dengan suara-suara lebih lantang menggesa rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, semakin ramai memilih kegiatan berbasikal.

BERITAMediacorp: Dengan suara-suara lebih lantang menggesa rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, semakin ramai memilih kegiatan berbasikal.

Menurut tinjauan Sports Singapore, kegiatan itu melonjak dua tangga menjadi aktiviti keenam paling popular di sini.

Kami bawakan pengalaman beberapa penggiat kegiatan itu, yang berjaya mengatasi masalah kesihatan mereka sejak berbasikal.

BILANGAN ANGGOTA BERBASIKAL MENINGKAT APABILA FAHAMI MANFAAT DISEBALIKNYA

Berbasikal bagi tujuan riadah mahupun kesihatan.

Trend ini dijangka berkembang dengan lebih meluas pada masa akan datang.

Perkembangan ini diakui pengasas Woodlands Cyclique, Encik Mohd Azhar Jamak, 51 tahun.

Kumpulan berbasikalnya kini semakin bertambah, terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

"Mula-mula kita dalam tiga empat orang apa bila kita mulakan pasukan ini. Selepas itu, kita dapat sambutan yang hangat.

"Apabila mereka dah dapat melihat manfaatnya, mereka ajak kawan lain untuk ikut serta," kongsinya.

Encik Sasman Mohd, Pengasas Bersama Woodlands Cyclique pula berkongsi bahawa kegiatan tersebut turut mendorong anggota kumpulan mereka untuk menolong di antara satu sama lain.

"Jadi selalunya kalau kita kayuh, kita saling menjaga satu sama lain. Jadi selalunya, yang tak kuat kayuh, kita akan beri panduan, perhatikan (mereka) supaya kita sampai ke suatu destinasi itu dengan selamat. Kita balik pun dengan selamat."

KESIHATAN TERJAGA, SAKIT BERTAMBAH PULIH

Bagi Cik Siti Sahara Thellaby, 60 tahun, beliau berjinak-jinak berbasikal untuk mengisi masa lapang.

Namun, ia kini sudah menjadi kegiatan sebati dengan beliau setelah diberitahu doktor penyakit jantungnya bertambah baik.

"Sekarang umur sudah 60, jadi kita teruskan sampai seberapa kemampuan boleh untuk kesihatan. Kalau kita di rumah, (kita) tak jaga kesihatan. Makan, tidur, duduk jadi letih.

"Dulu saya kena, (sakit) jantung, keluar masuk hospital Tan Tock Seng. Minggu-minggu, kalau tidak, setiap bulan. (Apabila) cuba berbasikal, penyakit hilang," tambahnya.

 Cik Siti Sahara Thellaby (dua dari kanan) dan wanita-wanita lain yang menganggotai Woodlands Cyclique bersama wartawan BERITAMediacorp. (Gambar: Mohd Azhar Jamak)

Turut meraih manfaat yang sama ialah Encik Fuad Jailani, 50 tahun. Bahkan, anggota kumpulan Meh Kayuh Singapura itu menjadi lebih cergas dan berjaya menurunkan berat badan.

"Dulu, berat badan saya 116kg. Bila dah berbasikal dengan kerap, dapat turun sampai sekarang, 85kg. Daripada segi basikal, kita buat tiga minggu sekali atau empat minggu, jadi dapat menurunkan berat badan."

IKATAN KEKELUARGAAN TERJALIN DARIPADA KEGIATAN RIADAH

Para anggota Meh Kayuh Singapura  juga digalak merapatkan ikatan kekeluargaan bukan sahaja semasa berbasikal tetapi di laman sosial.

Kumpulan Meh Kayuh Singapura di acara 90km Avillion Coastal Ride di Port Dickson. (Gambar: Suaidi Maswari) 

"Dalam kumpulan Facebook, kita memang letakkan satu syarat - berbincang hanya tentang basikal atau berkongsi pengetahuan tentang basikal.

"Dan juga jika ada masalah tentang basikal atau apa-apa untuk berkongsi di sana. Biasanya yang ada masalah akan dapat jawapannya," kata Encik Suaidi Maswari, Pengasas Meh Kayuh Singapura.

Sama ada membantu mengurangkan komplikasi kesihatan dan berat badan berlebihan atau sekadar berseronok, kegiatan berbasikal dijangka terus menjadi pilihan ramai dengan lebih banyak laluan khas berbasikal disediakan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan