Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai majikan manfaatkan cara sokong kesejahteraan mental pekerja

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Oct 2023 07:47PM Dikemas Kini : 10 Oct 2023 11:59PM
SINGAPURA: Sesetengah majikan di Singapura meningkatkan usaha untuk menangani gejala tekanan di tempat kerja atau 'burnout', merujuk kepada keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi yang berlaku.

Menurut Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF), ia sudah membantu lebih 100 majikan menganjurkan sesi kesejahteraan mental untuk kakitangannya.

Sebuah syarikat insurans tempatan turut menyaksikan jumlah pelanggan yang mendapatkan perlindungan kesihatan mental melonjak 10 kali ganda sejak sebelum pandemik melanda.

Acara-acara mengukuhkan ikatan di tempat kerja semakin menjadi kebiasaan.

Syarikat-syarikat menyatakan, ia adalah antara usaha untuk memastikan pekerja mereka memiliki badan dan minda yang sihat.

Pengurus Perniagaan (Nutraseutikal), Pocari Sweat Singapore, Joshua Lee
berkongsi: "Kami hanya melakukan kegiatan di luar seperti menggunakan tali di tempat tinggi, memanjat tembok untuk memastikan terdapat kegiatan fizikal. Satu sisi kesihatan adalah dari sudut fizikal, satu lagi adalah tentang hubungan."

Syarikat tersebut percaya kegiatan sedemikian boleh menjadi jalan keluar bagi pekerja yang berdepan dengan tekanan kerja.

Menurut data Kementerian Tenaga Manusia (MOM), satu daripada setiap tiga pekerja mengalami tekanan di tempat kerja atau 'burnout'.

Atas sebab itu MOM bekerjasama dengan persekutuan majikan dan pihak kesatuan untuk mengeluarkan nasihat mengenai kesejahteraan mental.

Ia menyarankan beberapa amalan bagi membantu majikan menyediakan sokongan kesejahteraan mental di tempat kerja.

Ini termasuk meluaskan skop faedah perubatan bagi kakitangan mereka.

"Sebelum COVID, kurang daripada satu peratus pelanggan korporat mendapatkan perlindungan kesihatan mental. Perangkaan itu meningkat secara stabil sepanjang beberapa tahun lalu, dan pada 2023 ini, ia naik kepada sekitar 10 peratus. Tentunya pandemik memainkan peranan besar juga dalam meningkatkan kesedaran," jelas Ketua Jualan dan Pemasaran, Huraian Korporat, AIA Singapore, Cynthia Tan.

Bagi syarikat tersebut, menjaga kesejahteraan mental pekerja bukan setakat rawatan perubatan.

Naib Presiden, Pekerja & Budaya, Klook, Cary Shek berkongsi bahawa syarikatnya menawarkan latihan kepada sekumpulan sukarelawan pekerja buat pertama kali untuk menjadi Pegawai Kecemasan bagi Kesihatan Mental yang bertauliah. Mereka akan dilengkapi dengan pengetahuan dan cara mendekati atau menawarkan bantuan kepada mereka yang memerlukan pertolongan dan juga membimbing mereka untuk mendapatkan jagaan yang sesuai.

SNEF sedang merancang satu siri perbincangan dan kegiatan berkaitan kesejahteraan mental pada bulan ini.

Ia diharap dapat mendampingi sehingga 2,500 majikan dan pekerja.
 
Sumber : CNA/AI/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan